suria

Selepas Umai, kali ini Amad pula tunjuk bakat… Siti Saerah sokong minat anak-anak menyanyi

Saerah (kiri) tidak pernah menghalang minat anak-anaknya terhadap bidang nyanyian.

SELEPAS Umairah menyerlah dalam bidang nyanyian, kali ini anak lelaki penyanyi Siti Saerah pula mula mencuri perhatian netizen.

Berkongsi mengenai perkara itu, Saerah atau Siti Nur Sairah Tarudin, 42, meluahkan rasa bangga anak keduanya iaitu Ahmad Daiyan, 13, semakin berani menyanyi di hadapan orang ramai.

Kata Saerah, Ahmad mula berani menyanyi selepas dia meminta remaja itu melakukan persembahan menerusi siaran langsung di aplikasi TikTok.

Amad sudah menunjukkan minat menyanyi sejak kecil lagi.

Amad sudah menunjukkan minat menyanyi sejak kecil lagi.

"Sekarang ini saya lihat dia lebih berani untuk menyanyi dan Amad (panggilan Ahmad) sering juga menyanyi sewaktu saya membuat siaran langsung di TikTok.

"Alhamdulillah sedikit demi sedikit saya lihat Amad kini sudah berani untuk tampil ke hadapan. Saya beri sahaja pendedahan buat Amad untuk dia rasa selesa berdepan dengan orang ramai," katanya ketika dihubungi mStar.

Dalam pada itu, Saerah memberitahu Ahmad sudah menunjukkan minat terhadap bidang nyanyian sejak dia berusia tiga tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak buah Siti Nurhaliza menangis semasa latihan vokal... Saerah jawab dakwaan paksa Umai jadi penyanyi

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza nampak bakat luar biasa Umai sejak kecil, pesan anak saudara jangan abai pelajaran

Pun begitu, anak lelakinya itu baru berani menyanyi di hadapan khalayak ramai sewaktu berusia 12 tahun ketika membuat persembahan di sekolah.

Malah video nyanyian Ahmad yang kini bersekolah di Sekolah Seri Anggerik, Cheras, Kuala Lumpur menjadi viral di media sosial.

"Sebenarnya Amad memang minat menyanyi dari kecil lagi tetapi dia tidak ada keberanian untuk menyanyi di hadapan orang ramai.

Saya beri sahaja pendedahan buat Amad untuk dia rasa selesa berdepan dengan orang ramai.

SITI SAERAH

PENYANYI

"Tahun lepas barulah dia berani membuat persembahan pentas di sekolah dan kebetulan video nyanyiannya itu viral. Itulah kali pertama dia menyanyi di hadapan orang ramai," ujarnya.

Melihatkan bakat ditunjuk anak-anak itu, Saerah meluahkan rasa syukur dan tidak menghalang mereka menceburi bidang yang diminati.

Malah Saerah turut memberitahu anak sulungnya iaitu Umairah atau lebih mesra disapa Umai kini menuntut di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur dan Ahmad bakal melanjutkan pembelajaran di Sekolah Sukan Negeri Kuala Lumpur.

"Saya tidak pernah menghalang anak-anak saya untuk menyanyi malah sering memberikan sokongan kepada minat mereka.

"Alhamdulillah Umai sekarang bersekolah di sekolah seni dan Amad bakal masuk ke sekolah sukan di Kuala Lumpur. Selain menyanyi Amad juga aktif dalam bidang sukan takraw.

amad2 - 1

Saerah sebelum ini banyak memberikan dorongan kepada Umai (kanan) untuk menyanyi.

"Buat masa ini saya tidak tahu lagi kecenderungan minat Amad tetapi apa sahaja pilihannya saya tetap akan memberikan sokongan sepenuhnya," katanya.

Sebelum ini, video Ahmad menyanyikan lagu Seribu Kemanisan nyanyian ibu saudaranya iaitu Datuk Seri Siti Nurhaliza mendapat perhatian netizen.

Rata-rata netizen memuji kelunakan suara Ahmad dan mengagumi bakat yang dimiliki anak saudara Biduanita Negara ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain