suria

Mila Jirin janji tak berhenti menyanyi, ada impian bertanding di pentas AJL

Mila tidak mahu sia-siakan bakat dalam bidang nyanyian.

KEMUNCULAN semula dengan lagu baharu berjudul Sandera sejak Mac lalu bagaikan memberi satu semangat buat penyanyi Mila Jirin untuk terus aktif dalam bidang nyanyian.

Kata Mila atau Norsyarmilla Jirin, 37, dia berharap apa yang dilakukan dalam dunia seni dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang, lebih-lebih lagi selepas hampir enam tahun tidak merakamkan lagu baharu.

Bukan sahaja kembali menghiburkan peminat di atas pentas, Mila yang juga aktif sebagai seorang usahawan sedang mengintai peluang baharu dalam perniagaan berkaitan bidang seni.

mila 2

Kemunculan semula Mila mengubat rindu peminat.

"Ketika saya sudah lama tidak rakamkan lagu ada yang tanya kenapa mensia-siakan bakat apabila video nyanyian tular saya kongsikan di media sosial.

"Seperti yang semua tahu, saya cuba pujuk suami. Walaupun pada mulanya suami agak berat nak membenarkan kerana kesibukan kami dalam perniagaan, tetapi dia tahu jauh di sudut hati saya masih mahu menyanyi.

"Disebabkan itu saya gunakan peluang yang ada. Saya nak, hadirnya saya kembali dalam industri dapat memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kemunculan semula Mila Jirin penuh makna, Nonny Nadirah muncul dalam muzik video Sandera

ARTIKEL BERKAITAN: Pegawai bank anggap bisnes Mila Jirin kelas ketiga, kini pendapatan setahun cecah RM50 juta

Ternyata taruhan Mila untuk kembali aktif tidak sia-sia apabila dia mendapat banyak maklum balas positif dari peminat termasuk golongan yang baru sedar dirinya juga seorang penyanyi.

Tidak kurang juga ada yang mengharapkan bakat seni seperti Mila terus diperjuangkan di pentas anugerah seperti Anugerah Juara Lagu (AJL).

"Siapa yang tak mahu berada di pentas gah AJL? Ia adalah impian bagi kebanyakan penyanyi sebagai penanda aras sejauh mana kehebatan sesebuah lagu itu.

mila 3

Lagu Sandera ada kekuatan tersendiri.

"Saya yakin susunan muzik lagu ini memberi magis buat sesiapa saja yang mendengar. Yang penting saya perlukan sokongan semua untuk sama-sama membawa Sandera ke pentas berprestij itu," ujarnya.

Bercakap lanjut tentang lagu ciptaan Amylea itu, Mila memberitahu ia cukup bersesuaian dengan dirinya sekaligus dapat mempamerkan kematangan dalam nyanyian.

"Terasa seperti lagu ini begitu sesuai dengan saya yang semakin matang daripada segi pembawakan dan penjiwaan nyanyian.

"Berbekalkan pengalaman dahulu juga, proses rakaman hanya diambil selama lima jam sahaja," jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain