suria

Dayang Nurfaizah ada rasa terkilan, akhirnya selesai rakam lagu terakhir Rudy Imran

Rudy sebelum ini pernah menulis lirik lagu Lelaki Teragung buat Dayang.

HAMPIR dua tahun pemergian Allahyarham Rudy Imran, penyanyi Dayang Nurfaizah sebak apabila mengimbau pesanan terakhir ditinggalkan penulis lirik dan wartawan hiburan itu.

Dayang atau Dayang Nurfaizah Awang Dowty, 42, berkata, Rudy sempat menulis sebuah lagu untuknya dan meminta ia dirakam segera namun hasrat itu tidak kesampaian.

"Saya terkilan sebab tak dapat rakam lagu itu semasa arwah masih ada. Bukan tak nak rakam tapi keadaan kesihatan dan jadual tidak mengizinkan saya.

"Pesanan terakir arwah hantar kepada saya dia minta jangan tunggu dia dan terus rakam sahaja lagu tersebut tapi selepas beberapa hari arwah menghembuskan nafas terakhir.

2579096

Dayang mengakui sebak mengimbau semula mesej terakhir arwah.

"Saya sedih sebab arwah nak sangat dengar lagu ini," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Dayang memberitahu lagu dengan judul Mencintai Cinta itu sudah pun berjaya dirakam pada penghujung tahun lalu.

Kata Dayang, dia mengambil masa lama merakamkan lagu tersebut kerana ingin memastikan kulaliti vokalnya berada ditahap baik memandangkan ia karya terakhir Rudy.

"Saya rakam lagu itu hujung tahun lepas, selepas setahun arwah dah tiada. Saya ambil masa yang lama untuk rakam lagu itu, sebab lagu itu lagu terakhir saya dengan arwah.

ARTIKEL BERKAITAN: Vokal kedengaran ‘penat’ di AJL38, Dayang Nurfaizah anggap perkara normal... “Ada harinya tak okey”

ARTIKEL BERKAITAN: Dayang Nurfaizah bukan obses mahu kurus, badan langsing sebab jaga pemakanan

"Saya nak pastikan yang kualiti suara saya berada ditahap yang baik semasa merakamkan lagu itu.

"Lagu ini sangat berat dari segi lirik dan memorinya, jadi saya nak buat terbaik untuk arwah abang Rudy," ujarnya.

Berkongsi proses rakaman lagu tersebut, Dayang mengakui ketiadaan Rudy benar-benar memberi impak buat dirinya.

Ini kerana arwah seorang penulis lirik yang tidak lokek memberi pendapat dan sentiasa membantu penyanyi memahami maksud setiap lagu.

Saya sedih kerana arwah nak sangat dengar lagu ini

DAYANG NURFAIZAH

PENYANYI

"Ketiadaan arwah sangat saya rasakan, semasa rakam lagu sebelum ini, dia selalu memberi pendapat kepada saya tentang apa yang boleh ditambah baik.

"Kami selalu berbincang tentang pemahaman isi lirik, penghayatan yang saya patut berikan untuk setiap lagu.

"Jadi masa rakam lagu itu, perasaan saya agak bercampur baur, tapi saya bersyukur abang Ajai banyak membantu," katanya.

Untuk rekod, Rudy yang juga penulis lirik lagu Lelaki Teragung meninggal dunia pada 31 Mac 2022 akibat kanser.

Untitled design (26)

Dayang bakal tampil sebagai bintang undangan dalam konsert By Ajai & Mega Friends.

Dalam perkembangan lain, Dayang meluahkan rasa teruja apabila bakal terlibat dalam Konsert By Ajai and Mega Friends yang turut menampilkan Aina Abdul, Hafiz Suip, Hazama dan Aufa Hanie.

Pada konsert itu, Dayang akan mendendangkan dua buah lagu ciptaan Ajai termasuk Seandainya Masih Ada Cinta yang berjaya mengangkat namanya.

Konsert By Ajai and Mega Friends bakal berlangsung pada 3 Ogos depan di Mega Star Arena Kuala Lumpur.

Tiket konsert tersebut sudah pun mula dijual bermula 6 Mac dengan di laman web Ticket2u.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain