suria

Wulan Guritno tak halang anak gadis berlakon, tapi awal-awal pesan jangan bagi malu!

Wulan (kanan) memberi sokongan terhadap minat Shalom (kiri) dalam bidang seni.

PELAKON Indonesia Wulan Guritno tidak pernah menghalang anaknya iaitu Shalom Razade untuk menceburi bidang lakonan.

Wulan atau nama sebenarnya Sri Wulan Lorraine Joko Guritno, 42, berkata dia ada menasihati Shalom untuk serius dan memberikan fokus sepenuhnya jika mahu bergelar pelakon.

Malah, Wulan turut meminta anaknya itu supaya tidak mengambil kesempatan menggunakan namanya sebagai ibu bagi mendapatkan mana-mana tawaran lakonan.

"Saya mula berlakon sejak usia 13 tahun jadi saya pesan kepada dia, kalau mahu terjun dalam bidang lakonan perlu buat dengan serius, jangan beri malu.

Wulan sudah menceburi bidang seni hampir tiga dekad.

Wulan tidak pernah menghalang anaknya untuk bergelar pelakon.

"Saya juga memberitahu dia harus berdikari tanpa mengharapkan apa-apa bantuan daripada saya. Jangan sesekali mengaitkan nama Wulan Guritno dalam kerjaya seninya.

"Saya bukan tidak mahu membantunya mendapatkan tawaran berlakon tetapi anak saya juga enggan sekiranya diberi tawaran atas nama anak Wulan Guritno," katanya kepada mStar.

Wulan berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media tayangan perdana filem Trinil: Kembalikan Tubuhku yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Memahami bukan mudah untuk bergelar anak seni, Wulan memberitahu dia bersyukur kerana Shalom sudah mempunyai persediaan mental kerana keluarga mereka sering mendapat perhatian ramai sejak anaknya masih kecil lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Wulan Guritno harap diberi rezeki anak meskipun usia sudah masuk 41 tahun

ARTIKEL BERKAITAN: Penonton Indonesia menangis tonton lakonan Fattah Amin, syukur filem 'Trinil: Kembalikan Tubuhku' terima sambutan baik

Kata Wulan, sepanjang 29 tahun berada dalam dunia hiburan sudah tentu pelbagai gosip dan cabaran pernah dilalui bersama anaknya.

"Untungnya kerana dia adalah anak saya, dia sudah terlatih dengan memilki mental yang kuat.

"Keluarga saya dari dulu sering mendapat perhatian ramai. Dari saya muda sampailah melahirkan dia ada sahaja gosip-gosip yang timbul. Biasalah dunia hiburan kan.

"Jadi daripada situ anak saya sudah terlatih secara mental untuk menjadi bahan bualan orang," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Wulan dan Shalom juga berkongsi satu panggung yang sama membintangi filem seram Trinil: Kembalikan Tubuhku.

Shalom membawakan peranan Wulan sewaktu muda memegang watak sebagai Rahayu.

Memiliki raut wajah dan senyuman yang seiras, pemilihan Shalom dilihat tepat untuk mewujudkan persamaan dalam watak yang dibawa.

Shalom (kiri) dan Wulan (kanan) membintangi filem Trinil: Kembalikan Tubuhku.

Shalom (kiri) dan Wulan (kanan) membintangi filem Trinil: Kembalikan Tubuhku.

"Memang ramai kru produksi yang memberitahu Shalom mempunyai persamaan seperti saya. Daripada riak wajah dan gelak tawanya.

"Ini merupakan filem pertama kami bersama tetapi disebabkan membawa watak sama kami tidak digandingkan dalam satu babak," jelasnya.

Selain Wulan dan Shalom, Trinil: Kembalikan Tubuhku turut dibintangi barisan pelakon popular termasuk Fattah Amin, Carmela van der Kruk, Rangga Nattra dan Alexzander Wlan.

Filem arahan pengarah Hanung Bramantyo ini sudah mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada Khamis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan Youtube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain