suria

Famili Duo minggu pertama pukul habis program TV, ditonton 3.8 juta

Famili Duo berjaya mencapai 3.8 juta tontonan.

KONTROVERSI kekeluargaan yang berterusan minggu lalu terhadap Shila Amzah dipercayai menjadi penyebab penonton memilih untuk menonton rancangan terbitan TV3 iaitu Famili Duo 2023 (FD2023) pada Ahad sehingga ia berjaya menjadi program hiburan utama pilihan penonton.

Rancangan minggu pertama itu berjaya meraih tontonan sebanyak 3.8 juta tontonan mengalahkan semua program hiburan di semua saluran televisyen yang bersiaran pada waktu sama termasuklah program All Stars Gegar Vaganza (ASGV) yang ditayangkan di saluran Astro Ria seperti dilaporkan agensi pengukuran AC Neilsen.

Selain isu berkaitan Shila Amzah, percaturan TV3 turut membuahkan hasil selepas penonton dikejutkan dengan penampilan adik-beradik kumpulan Zero iaitu Sharif Khadir Doli Sharif dan Mohd Syaiful Doli Sharif sebagai pasangan duo keenam.

Penyertaan mereka sekali gus memberi impak besar kepada program realiti berkenaan kerana tiada siapa yang menyangka pasangan ini terpilih dan berjaya membawa gelaran juara minggu pertama.

FD1 - 1

Persembahan Sharif dan Syaiful berjaya menambat hati juri.

Menurut juri tetap iaitu Mas Idayu, Sharif dan Syaiful berjaya memberikan persembahan terbaik dengan cara tersendiri.

Kata Mas Idayu atau lebih mesra disapa Mummy, duo adik-beradik ini bijak menghiburkan penonton menggunakan kreativiti dengan menggabungkan nyanyian dan jenaka.

"Untuk menukar karakter dari sebuah program lawak ke program nyanyian realiti lebih serius mungkin agak sukar tetapi Sharif dan Syaiful berjaya memberikan persembahan terbaik mengikut rentak Famili Duo.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak mahu terlalu garang, Mas Idayu cuba berlembut elak gores hati peserta ‘Famili Duo 3’... “Tapi saya nampak macam orang lain”

ARTIKEL BERKAITAN: Mikrofon tak berbunyi, Mas Idayu puji adik Shila Amzah bijak kawal situasi cemas

"Kamu berdua (Sharif dan Syaiful) berjaya menyusun lagu yang bermain dengan elemen rock, dangdut dan juga lawak.

"Itulah yang dinamakan kreativiti. Itu juga ciri-ciri yang dicari pada cara peserta Famili Duo selama ini," komennya selepas persembahan.

Dalam pada itu, komposer Ajai turut memuji persembahan keseluruhan Sharif dan Syaiful yang disifatkan bijak menggunakan kelebihan yang ada pada mereka.

"Kamu tahu cara untuk mengikut rentak lagu, kamu juga tahu penyampaian perasaan mengikut susunan lagu yang bersesuaian.

"Saya sangat bersetuju dengan susunan lagu yang kamu telah mengolah supaya memanfaatkan kekuatan kamu.

"Perkara itu saya 'salute'... saya harap perkara ini berkekalan dan prestasi kamu berdua terus naik sehingga konsert akhir," ujarnya.

FD3 - 1

Shila dan Syahir antara peserta yang mendapat perhatian ramai.

Pada malam berkenaan, Sharif dan Syaiful berjaya mendapat markah 55 peratus mengalahkan lima lagi peserta termasuk Shila Amzah dan Syahir, Ryan dan Adam Bakery, Tom dan Fuad Rahman, Haqiem Rusli dan Arieff Bahran serta Adira dan Emma Suhaimi.

FD2023 dihoskan oleh Janna Nick dan Izzue Islam secara langsung dari Studio NTV7, Glenmarie Shah Alam, Shah Alam dan disiarkan menerusi saluran TV3 pada setiap Ahad, pukul 9 malam.

Sebelum ini, nama Shila Amzah menjadi sebutan netizen kerana terpalit kontroversi membabitkan keluarganya.

Kemelut keluarga Shila dan Syahir menjadi perhatian selepas adik mereka, Syada Amzah mendakwa bakal dihalau keluar daripada kediamannya susulan banglo milik kakaknya itu bakal dijual selain sedang mencari rumah sewa.

Shila bagaimanapun menyangkal dakwaan dia mahu menghalau adik-beradiknya sebaliknya mahu menjual banglo tersebut kerana ingin membeli kediaman baharu lebih selesa buat ibu mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain