suria

Jihan Muse kembali, Elly Mazlein kekal hos All Stars Gegar Vaganza bersama Nabil Ahmad

All Stars GV tampil dengan gandingan hos Jin, Nabil dan Elly.

PENGACARA dan pelawak Jihan Muse kembali menggalas tanggungjawab sebagai hos program All Stars Gegar Vaganza selepas berehat pada musim kesembilan.

Bagaimanapun, pihak produksi membuat kejutan apabila Elly Mazlein kembali memeriahkan pentas pertandingan musim kesepuluh itu bergandingan bersama Jihan dan Nabil Ahmad.

Ketiga-tiga mereka muncul pada persembahan pembukaan pertandingan dengan menyampaikan lagu Rindu nyanyian asal ratu dangdut Amelina.

Sementara itu, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan penyanyi legenda Indonesia iaitu Hetty Koes Endang kekal sebagai juri tetap pertandingan tersebut.

gv10

10 juara berentap merebut gelaran All Stars Gegar Vaganza.

Sebelum ini, kecoh di media sosial apabila Jihan tidak akan kembali untuk musim kesepuluh ini susulan info program Astro menunjukkan dua nama akan tampil sebagai pengacara iaitu Nabil Ahmad dan Elly Mazlein.

Untuk rekod, Jihan dan Nabil merupakan pengacara bagi Gegar Vaganza bermula musim pertama sehingga musim kelapan.

Bagaimanapun, pada musim kesembilan, Elly atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina menggantikan Jihan memandangkan dia ketika itu baru sahaja melahirkan anak keduanya pada awal September 2022.

ARTIKEL BERKAITAN: Info program All Star Gegar Vaganza senarai nama Nabil dan Elly sebagai hos, peminat mahu Jihan Muse kembali

ARTIKEL BERKAITAN: 10 bekas juara berentap semula, gelanggang All Stars Gegar Vaganza bermula 24 September

GV pada kali ini akan menampilkan 15 finalis yang mana 10 daripadanya adalah pemenang-pemenang daripada musim lalu dan lima lagi adalah daripada kerusi hot seat yang akan dipilih oleh peminat.

Sepuluh juara yang bakal berentap adalah Ayai (musim pertama), Siti Nordiana (musim kedua), Azharina (musim ketiga), Naqiu dan Hardy Mirza (musim keempat).

Turut bertanding adalah Noryn Aziz (musim kelima), Datuk Aishah (musim keenam), Cliff Umar (musim ketujuh), Aliff Aziz (musim kelapan) dan Jaclyn Victor (musim kesembilan).

All Stars Gegar Vaganza akan berlangsung selama 12 minggu dan bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam mulai 24 September, setiap Ahad, jam 9.00 malam dan ditayangkan eksklusit di Astro Ria (Saluran 104).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain