suria

[V] Wajah disamakan dengan haiwan, Nadeera Zaini tergores dihina soal rupa - “Semua itu adalah ciptaan Allah”

JUARA Big Stage 2023 Nadeera Zaini mendedahkan dia pernah menerima pelbagai hinaan tentang penampilannya sehingga ada tergamak menyamakan rupa parasnya dengan seekor haiwan.

Nadeera atau Farah Nadeera Zaini, 30, berkata, penghinaan itu benar-benar menggores hatinya kerana menganggap kata-kata itu sebagai melampau.

"Sebenarnya saya tak mahu baca komen selepas dikecam teruk pada ketika itu tapi apabila saya lihat semula gambar-gambar dalam telefon muncul notifikasi yang tertulis 'muka macam babi'.

"Saya terus menangis kerana saya sangat pantang jika ada yang bergurau soal rupa kerana semua itu adalah ciptaan Allah.

nadeera1 - 1

Nadeera dikecam teruk kerana penampilannya sebelum ini.

"Jadi saya mahu tanya semula pada individu itu, kalaulah ia terjadi kepada ahli keluarga atau diri sendiri, bagaimana agaknya perasaan dia?," katanya kepada mStar.

Nadeera berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media BS2023 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada malam Ahad.

Penyanyi itu sebelum ini pernah menerima kecaman netizen susulan konsep pakaian digayakan kurang sesuai dengan lagu dipersembahkan iaitu Rahmatun Lil' Alameen pada minggu ketiga pertandingan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Nadeera Zaini tepati ramalan juara Big Stage 2023, bawa pulang RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: Air mata Nadeera Zaini gugur, Ajai minta jangan rasa rendah diri dikecam tak cantik

Dalam pada itu, Nadeera menjelaskan ahli keluarga termasuk ibu dan bapanya juga turut tergores dengan hinaan itu dan berharap tiada lagi yang mengeluarkan kata-kata sedemikian.

"Ibu bapa sampai ibu saudara saya pun menangis ketika buat panggilan video bertanya kenapa ramai orang menghina saya.

"Saya beritahu mereka agar bersabar sebab ini baru permulaan asam garam untuk saya meneruskan perjalanan sebagai seorang artis.

Saya terus menangis kerana saya sangat pantang jika ada yang bergurau soal rupa.

NADEERA ZAINI

PENYANYI

"Cuma saya ingin sekali lagi memohon maaf sekiranya saya melampaui batas dan selepas ini janganlah kecam saya lagi," ujarnya.

Berkongsi tentang kemenangan di BS2023, Nadeera memberitahu ini merupakan gelaran juara ketiga sepanjang pembabitan menerusi enam program realiti yang pernah disertai.

Penyanyi ini bagaimanapun memaklumkan dia berjanji tidak akan menyepi dalam dunia hiburan dan akan terus menghasilkan karya buat peminat yang menyokongnya selama ini.

nadeera3 - 1

Nadeera gagal menahan sebak di atas pentas.

"Rezeki tidak pernah salah alamat, rezeki ini tidak pernah datang dengan cepat atau lambat. Saya percaya rezeki ini datang pada waktu yang tepat.

"Bagi saya inilah waktunya yang Allah berikan kepada saya. Mungkin selepas ini saya berharap dengan team yang baru ini, kalau ada rezeki saya tidak akan menyepi lagi.

"Insya Allah, saya akan hasilkan karya-karya untuk peminat semua. Saya tidak akan berhenti di sini sahaja," katanya.

Pada Ahad, Nadeera dinobat sebagai pemenang Big Stage 2023 yang membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM100,000 berserta sebuah trofi.

nadeera2 - 1

Nadeera dinobat sebagai juara Big Stage 2023.

Nadeera turut berpeluang merakamkan sebuah lagu baharu bersama komposer dan penulis lirik antarabangsa iaitu Hyuk Shin.

Sebelum itu, Nadeera gagal menahan perasaan sehingga mengalirkan air mata selepas selesai membuat persembahan pertama di pentas akhir.

Penyanyi itu sebak ketika menerima komen daripada juri profesional iaitu Ajai yang dilihat memberi kata-kata semangat buatnya susulan pernah dikecam hebat gara-gara penampilannya dikatakan tidak menarik.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain