suria

[V] Azizul Khamis sempat bantu tunai solat, Noraniza Idris pula ralat tak dapat ziarah Rohana Jalil di hospital

BERITA pemergian penyanyi Rohana Jalil bagai satu kehilangan besar dalam industri seni bukan sahaja mengejutkan peminat namun rakan-rakan artis juga masih dalam keadaan tidak percaya dengan khabar tersebut.

Penyanyi Noraniza Idris meluahkan rasa terkilan apabila tidak sempat menziarahi Allahyarham semasa sedang di rawat di hospital sejak April lalu.

Kongsi Noraniza, kali terakhir dia bertemu dengan arwah pada sebuah program malah memuji penyanyi Rayuanku itu sebagai insan yang baik sebagai teman.

Roahana 2

Noraniza dan Herman terkejut dengan pemergian Rohana.

"Dia seorang yang baik, sentiasa beri bimbingan dan jujur orangnya. Saya tak sangka dia ada penyakit kronik seperti itu.

"Cuma saya terkilan sebab tak dapat bertemu dengan dia kerana ada kekangan masa sampailah saya dapat tahu dia telah pergi.

"Kali terakhir saya bertemu di sebuah program tapi pun sekejap sahaja tidak dapat berbual lama," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Rohana Jalil meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Kilafairy harap ada keajaiban, tak sedia melepaskan ibu... Rakan artis anjur bacaan Yasin untuk Rohana Jalil

Sementara itu, sahabat baik Rohana iaitu penyanyi Azizul Khamis berkata, kali terakhir dia bertemu dengan pelantun Rayuanku itu sebelum arwah menghembuskan nafas terakhrinya pada malam Selasa.

Azizul bagaimanapun memberitahu dia sebelum ini sempat meluangkan masa beberapa kali bersama Allahyarham sekali gus reda dengan pemergian insan yang banyak membantunya sepanjang berada di dunia hiburan.

"Saya jumpa dia sebelum dia hembuskan nafas terakhir, tapi Ahad sebelum ini saya ada melawat dia. Saya sempat mengurut kaki dia... Masa itu saya tengok dia masih kuat lagi.

"Saya ada bantu dia tunaikan solat. Dia pun ada ucap terima kasih kerana bantu dia solat ketika itu.

Sudah empat bulan saya tidak berbual dengan dia sejak dengar khabar dia sakit.

HERMAN TINO

PENYANYI

"Dia pun ada cakap yang dia sayangkan saya bersama Salwa. Dia sangat baik, peramah dan periang orangnya. Saya reda pemergian dia, tapi rasa kehilangan," kongsinya.

Dalam pada itu penyanyi Herman Tino memberitahu dia sentiasa mengagumi arwah sebagai seorang penyanyi yang berbakat besar.

Katanya dia sudah lama tidak bertemu dengan arwah memandangkan sibuk menguruskan isteri yang juga tidak sihat ketika ini.

"Sudah empat bulan saya tidak berbual dengan dia sejak dengar khabar dia sakit. Kami sudah lama berkawan sejak tahun 1976.

Azizul

Azizul rasa kehilangan rakan baik.

"Saya terkejut tiba-tiba pergi meninggalkan kita semua," luahnya.

Pada Selasa, Rohana menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor, kira-kira pukul 11.33 malam.

Pada Isnin lalu, pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Jepun memaklumkan Rohana berada dalam keadaan stabil, namun keadaan tubuhnya dilaporkan terlalu lemah selepas disahkan mengalami kebocoran usus.

Rohana tidak lagi menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu merawat penyanyi itu.

rohanaaa2 - 1

Rohana pergi selepas beberapa bulan bertarung nyawa di hospital.

Kuman akibat kebocoron usus itu telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.

Untuk rekod, Rohana mendirikan rumah tangga bersama Jahangir Khan dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Shakira Idora dan Syakila Nisa atau lebih dikenali sebagai Kilafairy.

Rohana merupakan pemenang bagi pertandingan Bintang RTM pada 13 Januari 1981 yang diadakan di Auditorium Besar, Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Antara lagu-lagu yang pernah dipopularkan Rohana termasuk Musafir Lalu, Resah Ku, Naluri Cinta dan Jangan Main Mata.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain