suria

“Saya dengar dia nyanyi di tandas, dapur”… Aina Abdul tak pilih kasih adili peserta Big Stage termasuklah ‘ex housemate’ Nadeera Zaini

Aina bersikap profesional, tidak pilih kasih.

KETUA juri Big Stage musim kelima (BS5) iaitu Aina Abdul berkata dia teguh dengan prinsip mengadili kesemua peserta program berkenaan dengan adil tanpa pilih kasih.

Kata Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 30, hubungan persahabatan yang terjalin dengan beberapa peserta sama sekali tidak akan mempengaruhi penjuriannya dalam program itu.

Ini termasuklah salah seorang peserta iaitu Nadeera Zaini yang merupakan rakan serumahnya suatu ketika dulu.

aina1 - 1

Aina mahu bersikap adil dan profesional.

Kata Aina, markah yang diberikan kepada Nadeera adalah berdasarkan persembahannya pada minggu pertama dan yakin bahawa penyanyi itu sebenarnya dapat melakukan dengan lebih baik.

"Sebenarnya saya cuba tonjolkan sikap tidak pilih kasih disebabkan itu ada yang tidak puas hati dengan markah yang saya beri pada Nadeera.

ARTIKEL BERKAITAN: Rina Nose kekok mengacara Big Stage 5, susah nak 'tangkap' percakapan Elly Mazlein

ARTIKEL BERKAITAN: Big Stage 5 buat kejutan, pelawak popular Indonesia Rina Nose pengacara bersama Elly Mazlein

"Saya mengenali Nadeera sudah lama. Kalau dia tak nyanyi dekat pentas, saya dengar dia nyanyi dekat tandas, dapur dan kami berdua saling mengetahui kelemahan dan kekuatan masing-masing.

"Malam ini (malam Ahad) saya perlu jadi adil sebab saya rasa dia boleh lakukan jauh lebih baik daripada itu," katanya kepada mStar.

Aina berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media minggu pertama Big Stage musim kelima yang diadakan di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, Selangor pada malam Ahad.

Kalau dia tak nyanyi dekat pentas, saya dengar dia nyanyi dekat tandas, dapur dan kami berdua saling mengetahui kelemahan dan kekuatan masing-masing.

AINA ABDUL

PENYANYI

Dalam konsert itu, Nadeera menduduki tangga ketujuh dengan markah sebanyak 71.33 peratus.

Sebelum itu, pengacara BS5 iaitu Elly Mazlein berkongsi cerita kepada penonton dengan memberitahu Nadeera dan Aina pernah menjadi rakan serumah.

Ketika Elly atau Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 43, meminta Aina untuk mengulas lanjut tentang perkara itu, penyanyi lagu Sepi berkenaan tidak mahu memberi sebarang komen kerana menganggap ia adalah satu perkara lama.

Dalam pada itu, Aina turut menegaskan setiap markah yang diberikan kepada Nadeera berpandukan sikap profesionalnya sebagai juri dan bukan sebagai seorang sahabat.

"Apa markah yang saya bagi tadi (malam Ahad) itu bukan datangnya daripada bekas rakan serumah, tetapi sebagai rakan seperjuangan.

"Saya tahu momen itu akan sampai dan dia pun ada bercakap dengan saya sebelum bertanding dalam program ini.

"Tapi kami sama-sama profesional. Apa yang kami ada sebelum ini masih sama. Kami masih berkawan tetapi pertandingan tetap pertandingan. Saya kena sama rata dengan yang lain," ujarnya.

Tambah Aina lagi, dia berharap agar peminat mereka dapat memahami tanggungjawabnya yang digalas dalam BS5 dan tidak menjadikan ia sebagai satu isu besar.

"Saya harap peminat Nadeera yang memang ikut kami dalam program terdahulu dan peminat-peminat saya jangan ambil perkara ini luar daripada konteks Big Stage.

"Ini hanyalah dalam program Big Stage dan untuk kebaikan bersama. Setiap apa yang saya komen dan berikan markah adalah menerusi persembahan yang telah dibuat," katanya.

aina2 - 1

Aina percaya Nadeera dapat berikan persembahan lebih baik.

Pada malam Ahad, Hoondoo muncul sebagai peserta yang menduduki kedudukan teratas dengan markah tertinggi iaitu sebanyak 81 peratus.

Tempat kedua pula berjaya diraih oleh COEX dengan markah 78.67 peratus diikuti peserta dari Indonesia, Waode yang berjaya memungut 76.67 peratus.

BS5 dikendalikan oleh Elly Mazlein dan Rina Nose bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria (104), Ria HD (123) setiap Ahad, pukul 9 malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain