suria

Sakit pun Fasha Sandha tetap fikir kerja, gigih bawa skrip sampai ke hospital… Lega sudah dibenarkan pulang

Fasha dibenarkan pulang selepas lapan hari menerima rawatan.

PELAKON Fasha Sandha memaklumkan dia sudah dibenarkan pulang selepas lapan hari menerima rawatan di hospital akibat kecederaan pada bahagian mata kiri.

Meskipun belum pulih daripada kecederaan, Fasha, 39, berharap dapat menyelesaikan baki babak penggambaran drama Anak Tuan kerana memikirkan tanggungjawab yang dipikul sebagai pelakon.

"Iya, benda nak jadi. Apa kita boleh buat? Kita buat yang terbaik, tetapi kemalangan tetap terjadi. Dalam hati saya hanya fikir tanggungjawab yang masih tertangguh. Malah pada hari kejadian, saya hanya fikir ingin habiskan tugas. Tetapi pengarah dan doktor tidak mengizinkan.

fasha 22

Fasha dilihat masih memikirkan hal kerja walau sedang sakit.

"Di kala sakit baru kita sedar siapa yang sayangkan kita.

"Saya tidak akan melupakan momen 'percutian' lapan hari tujuh malam di hospital. Saya sudah boleh discharge hari ini... Alhamdulillah," katanya.

Fasha berkongsi mengenai perkara itu menerusi laman Instagram miliknya pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Babak bersama Azhan Rani bertukar tragedi, tulang mata kiri Fasha Sandha patah terhentak bucu katil

ARTIKEL BERKAITAN: “Lepaskan sahaja pada saya” - Azhan Rani lapang dada dituduh penyebab Fasha Sandha cedera, raikan kecaman dan tohmahan

Dalam pada itu, Fasha menegaskan dia tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menyebabkan insiden di lokasi penggambaran itu sehingga mendatangkan kecederaan pada bahagian matanya.

"Saya tidak pernah tertekan, tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya anggap Allah hanya ingin saya berehat seketika. Lapan hari yang begitu panjang buat saya.

"Fizikal luar mata dan bengkak beransur pulih. Tulang kiri mata patah, ada tisu dan darah beku. Walaupun begitu saya tetap bersyukur mata kanan masih sihat sempurna dan banyak lagi nikmat kebaikan yang diberikan kepada saya," ujarnya.

Saya anggap Allah hanya ingin saya berehat seketika. Lapan hari yang begitu panjang buat saya

FASHA SANDHA

PELAKON

Dalam perkongsian tersebut, Fasha turut memuat naik beberapa keping foto semasa di hospital.

Selain itu, dia turut berkongsi perbualannya dengan salah seorang kru produksi yang memohon maaf atas kejadian berkenaan.

Fasha juga dilihat membawa skrip drama di hospital kerana masih memikirkan hal kerja yang belum dilunaskan.

fasha 2

Insiden di lokasi yang menyebabkan mata kiri Fasha cedera.

Pada 2 Mac lalu, Fasha terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan pakar di Johor Bharu, Johor akibat kecederaan yang dialami selepas terbabit dalam satu kemalangan ketika melakukan babak bergaduh dengan Azhan Rani dalam drama berjudul Anak Tuan.

Dia kemudian dipindahkan ke sebuah pusat rawatan di Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan susulan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain