suria

[V] Raysha Rizrose kongsi momen dilamar suami, perkenalan di Twitter bawa sampai ke pelamin

SEPANJANG 11 tahun perkenalan dengan pelumba kereta Formula 2 (F2) Nabil Jeffri, pelakon Raysha Rizrose mengakui banyak cabaran yang dilalui bersama sebelum mereka mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

Berkongsi detik perkenalan, Raysha atau Farza Naquraisha Mohd Fariz, 27, berkata persahabatan itu bermula di laman Twitter dan hubungan itu mula rapat ketika dia masih di bangku sekolah.

Kemuncak hubungan Nabil melamarnya menjadi isteri pada 16 Ogos tahun lalu di lokasi sama dia dilamar menjadi kekasih dahulu.

raysha 33

Raysha akan memilih watak dalam lakonan selepas bergelar isteri.

“Biasalah dalam tempoh sedekad itu, hubungan kami ada turun naik. Tapi pada akhirnya kami banyak bertolak-ansur. Kepercayaan dan komunikasi menjadi teras kepada hubungan kami.

“Selama ini, dia (suami) sentiasa menjadi inspirasi dalam hidup saya. Dia sentiasa mendorong saya menjadi lebih baik.

“Nabil melamar saya menjadi isteri di lokasi yang sama ketika dia mahu melamar jadi kekasih. Momen itu saya masih ingat sehingga hari ini,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Genap 2 bulan bertunang, Raysha Rizrose sah bergelar isteri pelumba F3 Nabil Jeffri

ARTIKEL BERKAITAN: Raysha Rizrose sudah bertunang dengan pelumba F3 Disember lalu, kahwin dalam masa terdekat... “Kata orang tak elok kecoh-kecoh”

Raysha ditemui selepas majlis pernikahan mereka yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur pada malam Rabu.

Bercakap mengenai komitmen dan tanggungjawab selepas bergelar isteri, Raysha berkata dia perlu lebih selektif dalam memilih watak lakonan.

“Cuma selepas kahwin, saya perlu lebih selektif memilih watak. Saya sudah berubah status, jadi keutamaan tentunya lebih kepada suami,” ujarnya.

Nabil melamar saya menjadi isteri di lokasi yang sama ketika dia mahu melamar jadi kekasih. Momen itu saya masih ingat sehingga hari ini

RAYSHA RIZROSE

PELAKON

Ditanya mengenai perancangan bulan madu, pasangan ini mengakui belum memikirkan tentang perkara itu kerana masing-masing terikat dengan komitmen kerja.

“Sejujurnya, memang belum ada perancangan berbulan madu lagi saat ini. Soal anak pula, baik saya dan suami tidak meletakkan ketetapan.

“Bagi kami perihal cahaya mata ini, insyaAllah ada rezeki ia akan datang tepat pada waktunya.

raysha 11

Pasangan ini bertunang pada 22 Disember tahun lalu.

Sementara itu, Nabil atau nama sebenarnya Muhammad Nabil Jan Al Jeffri, 30, pula berkata tempoh perkenalan yang panjang itu membuatkan dia cukup mengenali isterinya itu dan tahu ini adalah masa terbaik untuk mereka berkahwin.

“Memang banyak cabaran dalam hubungan kami terutama ketika tempoh berjauhan di mana saya berada di luar negara kerana terlibat dengan perlumbaan. Kami pun tidak pernah kata untuk berkahwin awal sebelum ini dan sama-sama setuju menunggu masa sesuai.

“Setelah melalui pelbagai fasa termasuk gembira dan sedih, kami banyak belajar mengenali diri masing-masing. Sebab itu saya rasa ini masa yang sesuai untuk ke fasa seterusnya,” jelasnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain