suria

Kahoe Hon sanggup tinggalkan kerjaya di AS, balik Malaysia kejar impian jadi pelakon... “Masa muda kena rebut peluang”

Kahoe mahu terus rebut peluang dalam dunia lakonan.

MINAT yang mendalam terhadap bidang lakonan membuatkan pelakon Kahoe Hon nekad mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya di Amerika Syarikat (AS) dan kembali ke Malaysia.

Kahoe, 31, berkata dia enggan terlepas peluang di usia muda kerana percaya inilah masa terbaik untuk terus berlakon sebelum memikirkan perancangan menjadi pengarah.

"Saya belajar di AS selama dua tahun dan selepas itu bekerja di sana dengan sebuah produksi penerbitan komersial. Sekitar tahun 2015 saya balik untuk ziarah keluarga dan kebetulan berjumpa dengan seorang rakan yang memperkenalkan saya kepada sebuah syarikat pengurusan.

kahoe 2

Kahoe terbuka terima watak sebagai lelaki Melayu.

"Daripada situ saya mula buat keputusan untuk kembali aktif berlakon di Malaysia. Pulang ke AS dan sebulan ambil masa untuk kemas barang di sana dan terus kembali ke Malaysia.

"Dalam usia muda ini saya kena rebut peluang untuk berlakon. Kalau dah tua nanti mungkin susah mendapat banyak tawaran," katanya kepada mStar.

Kahoe ditemui ketika majlis tayangan lakonannya berjudul Irama Kita yang bakal ditayangkan di aplikasi Tonton.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] ‘Hikayat Putera Shazlan’ buat peminat ingat Fimie Don, belum bosan bawa watak budak sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Sharifah Husna nekad tinggalkan bidang perubatan, kejar impian dunia seni - “Biarlah apa orang nak cakap”

Meskipun aktif dalam berlakon, Kahoe tidak pernah memadamkan impian untuk duduk di kerusi pengarah suatu hari nanti kerana dia amat mengagumi bakat Allahyarham Yasmin Ahmad.

"Saya belajar di New York Film Academy dalam bidang pengarahan kerana ini adalah sesuatu yang saya minat. Arwah Yasmin juga banyak memberi saya inspirasi untuk menjadi pengarah.

"Namun buat masa sekarang saya belum bersedia lagi. Banyak yang perlu dipelajari dan saya anggap berada di lokasi penggambaran sebagai pelakon adalah ‘sekolah’ terbaik untuk belajar selok-belok pengarahan,” ujar.

Dalam usia muda ini saya kena rebut peluang untuk berlakon. Kalau dah tua nanti mungkin susah mendapat banyak tawaran

KAHOE HON

PELAKON

Sebagai seorang berbangsa Cina, Kahoe juga tidak bermasalah untuk menerima watak sebagai lelaki Melayu dan terbuka untuk mendalami agama Islam.

Malah sejak kecil dia dikelilingi orang Melayu dan sudah terbiasa dengan budaya bangsa itu.

"Sampai sekarang pun ramai kawan-kawan saya orang Melayu. Sampaikan saya seronok belajar budaya Melayu dan agama Islam. Saya pernah belajar puasa di bulan Ramadan.

kahoe 1

Adly (kiri), Fara, Aiman dan Kahoe menjadi barisan pelakon utama Irama Kita.

"Jadi untuk bergelar pelakon saya tidak ada masalah untuk memegang watak sebagai lelaki Melayu. Ada yang ingatkan saya ini orang Cina tapi dibesarkan oleh keluarga Melayu," jelasnya.

Selain Kahoe, filem Irama Kita turut menampilkan pelakon lain seperti Aiman Tino, Fara Nadiah dan Ahmad Adly.

Filem arahan Izuan Mokhtar ini mengangkat kisah perjuangan empat sahabat yang mengejar impian mereka dalam dunia muzik namun terhalang dengan pelbagai cabaran.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain