suria

Lincah atas pentas… Kaka Azraff lupa sedang hamil, bakal timang ‘hero’ ketiga

Kaka Azraff lincah beraksi atas pentas.

PENYANYI Kaka Azraff berkongsi khabar gembira dia kini hamil anak ketiga dan kandungan sudah memasuki usia enam bulan.

Menurut Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, dia bakal menimang cahaya mata lelaki itu pada Jun depan.

"Syukur Alhamdulillah... kali ini pun lelaki juga. InsyaAllah akan bersalin pada Jun depan. Semoga dipermudahkan.

kaka 3

Kaka tak alami alahan teruk.

"Kandungan kali ini saya tak letak harapan pun nak lelaki atau perempuan.

"Apabila dapat tahu bayi lelaki saya seronok. Rasanya macam queen dikelilingi oleh ramai lelaki," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

Meskipun usia kandungan sudah masuk enam bulan, Kaka memberitahu dia masih memenuhi undangan menyanyi dan akan berehat apabila waktu bersalin sudah hampir.

Malah dia juga dilihat lincah membuat persembahan pembukaan di pentas Anugerah Juara ke-37 pada Ahad lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Alami ‘morning sickness’ teruk, Kaka Azraff mohon maaf jika gagal dihubungi - “Tak boleh bau bawang tumis, saya muntah setiap 30 minit”

ARTIKEL BERKAITAN: Tahniah! Kaka Azraff selamat bersalin anak lelaki kedua, sempat dapat tarikh lahir cantik 22.2.22

"Dah nak masuk anak ketiga kan, saya pun kadang-kala lupa sedang hamil sebab dah biasa. Sampaikan masa AJL37 lalu ada orang ingatkan saya supaya tidak terlalu banyak bergerak.

"Persembahan nyanyian saya masih terima. Tak fikir nak rehat pun sebab ini yang saya suka.

"Masa awal tempoh hamil memang ada morning sickness, sekarang semuanya dah okey. Doktor pun beritahu saya dalam fasa ‘honeymoon’ kerana tiada lagi sebarang alahan," ujarnya.

kaka 2

Kaka bersama suami dan dua anak mereka.

Bercakap tentang persiapan menyambut kelahiran, Kaka dia kini lebih memberikan tumpuan menguruskan keluarga di rumah memandangkan usia anak kedua masih kecil.

Disebabkan kandungan ketiga ini dijangka bayi lelaki, tidak terlalu banyak persiapan yang perlu dilakukan.

"Anak-anak pun masih kecil... jadi saya lebih banyak fokus tentang pengurusan masa menjaga keluarga di rumah.

"Saya dah ada dua anak lelaki, InsyaAllah ketiga ini pun lelaki. Jadi mana-mana keperluan seperti baju dan lain-lain masih boleh dipakai,” jelasnya.

Untuk rekod Kaka mendirikan rumah tangga dengan Adam Adzriff pada 14 Disember 2018.

Mereka telah dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Aslan, 4, dan Aryan yang kini berusia setahun.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain