suria

Pelakon sitkom ‘Santan Berlada’ Baharuldin Darus meninggal dunia akibat sakit tua

Nama Baharuldin cukup sinonim dengan drama Santan Berlada memegang watak Asrul.

PELAKON sitkom popular Santan Berlada iaitu Baharuldin Darus meninggal dunia pada usia 72 tahun di kediaman anaknya di Temerloh, Pahang akibat sakit tua kira-kira pukul 3.45 petang, Isnin.

Berita sedih itu disahkan oleh anak sulung Allahyarham iaitu Profesor Dr. Mohamad Taufik Hidayat, 49, yang memaklumkan kesihatan ayahnya merosot sejak dua minggu lalu.

"Arwah meninggal dunia akibat sakit tua. Sebenarnya pagi tadi saya hantar ayah ke rumah adik di Temerloh kerana dia ingin menjaganya. Selepas selesai makan, kami lihat arwah ayah dalam keadaan tidak bermaya malah bacaan nadinya juga lemah.

Gambar kenangan Taufik (kiri) bersama arwah pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

Gambar kenangan Taufik (kiri) bersama arwah pada sambutan Aidilfitri tahun lalu.

"Saya hubungi klinik kesihatan berhampiran dan mereka mengesahkan kematian ayah.

"Sejak dua minggu lalu, keadaan kesihatannya memang sudah merosot dan tidak boleh uruskan diri sendiri," katanya ketika dihubungi mStar.

Taufik yang merupakan profesor bidang Fisiologi Perubatan di Fakulti Perubatan dan Kesihatan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) memaklumkan jenazah akan diuruskan di Masjid Kampung Kelibang, Kerdau, Temerloh, Pahang pada Selasa dan akan dikebumikan di tanah perkuburan di kawasan masjid tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelakon drama ‘Nur’ Kamsani Ismail meninggal dunia

ARTIKEL BERKAITAN: Penyanyi veteran Julie Sudiro meninggal dunia

Sementara itu, Taufik berkata, di penghujung hayat arwah, bapanya sering terkenangkan drama lakonannya itu yang telah menaikkan namanya dalam industri seni.

Baharuldin Darus

Baharuldin Darus (belakang, tiga dari kiri) bersama rakan-rakan artis seangkatan ketika menyertai rancangan hiburan terbitan RTM. Foto dari Fauziah Nawi (dua dari kanan).

Drama tersebut yang ditayangkan menerusi TV1 popular sekitar tahun 1980-an dan turut menampilkan pelakon lain seperti Fauziah Nawi, Ali Mamak dan Accapan. Allahyarham terkenal dengan watak Asrul dalam drama komedi itu.

"Sejak kebelakangan ini arwah selalu sebut tentang drama Santan Berlada. Drama itulah yang telah menaikkan namanya," ujar Taufik.

Allahyarham yang dilahirkan pada 8 Februari 1951 di Serdang, Kedah pernah mendirikan rumah tangga sebanyak tiga kali dan mempunyai tujuh orang anak hasil daripada semua perkahwinan tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain