suria

[V] “Biar netizen maki saya dulu, asalkan jangan ganggu peserta saya” - Mas Idayu perjelas isu 'membatu' sejak isu Sissy Iman dan Naim Daniel 

SEJAK terpalit kontroversi apabila didakwa memberi komen kasar dan tidak membina terhadap peserta program Famili Duo iaitu Sissy Imann dan Naim Daniel, penyanyi Mas Idayu dilihat mendiamkan diri daripada mempertahankan dirinya apabila hebat dikecam netizen.

Mas atau Mas Idayu Mesnun, 51, berkata, dia memang memberi ruang kepada orang ramai mengecam dirinya kerana tidak mahu Sissy dan Naim diganggu dengan kritikan negatif sehingga tumpuan mereka terhadap pertandingan terganggu.

"Dalam masa seminggu, saya dipanggil dengan pelbagai gelaran tetapi saya tidak mahu menjawab apa-apa kerana tidak mahu mengganggu peserta.

"Saya mahu semua peserta habiskan program ini tanpa sebarang tekanan. Setakat ini, biar netizen maki saya dulu, asalkan jangan ganggu peserta saya," katanya kepada mStar.

Mas tidak kisah terima kecaman netizen.

Mas dan Ajai pada sidang media Famili Duo Akhir.

Mas berkongsi mengenai perkara itu ketika ditemui pada sidang media Famili Duo Akhir yang diadakan di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada malam Ahad.

Dalam pada itu, Mas menjelaskan dia tidak memberi sebarang komen persembahan Sissy dan Naim pada minggu ketujuh kerana mahu mereka menjadi kuat dan kental.

"Saya nak mereka kuat seperti orang lain. Saya nak mereka yang minta untuk diberikan komen dan bukannya beritahu ini adalah program famili, terpulang sama ada mahu komen atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya ikhlas" - Mas Idayu akhirnya buka mulut, puji vokal Sissy Imann dan Naim Daniel terbaik di pentas akhir Famili Duo

ARTIKEL BERKAITAN: Mas Idayu pernah marah Zaki dan Yamani, Jamal Abdillah tunjuk 'thumbs up'

"Saya nak mereka kental seperti orang lain. Sissy dan Naim budaknya bijak. Cuma masa minggu keenam sahaja mereka buat kesilapan," ujarnya.

Bagaimanapun, Mas memberitahu dia tidak merasakan Sissy marah kepadanya tetapi melihat penyanyi itu kecewa dengan persembahannya ketika minggu keenam.

"Masa saya komen, anda tengok semula betul-betul, Sissy tak menangis pun. Selepas Ajai beri komen yang agak lembut, mungkin dekat situ dia rasa tersentuh.

Setakat ini, biar netizen maki saya dulu, asalkan jangan ganggu peserta saya.

MAS IDAYU

PENYANYI

"Tetapi apa yang saya nampak, saya tidak rasa dia marah saya tetapi lebih kepada rasa kecewa namun disebabkan dia mendiamkan diri netizen pula serang saya," jelasnya.

Terdahulu, Mas memilih untuk 'membatu' dan kelihatan seakan merajuk apabila juri tetap itu tidak mahu memberikan sebarang komen kepada persembahan Sissy dan Naim.

Meskipun hos, Sean Lee meminta penyanyi dangdut itu mengulas mengenai persembahan mereka, namun Mas tidak langsung menghiraukannya.

Mas dilihat sedang sibuk menulis sesuatu di atas kertas tanpa memandang wajah Sissy dan Naim di atas pentas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain