suria

Konsert sulung Saujana sempena 25 tahun himpun semua anggota asal, persembahan diiringi orkestra

Saujana beritahu idea adakan konsert tercetus sejak lima tahun lalu.

BAGI mengubati rindu peminat, Saujana bakal mengadakan konsert bersempena ulang tahun ke-25 penubuhan kumpulan nasyid popular berkenaan.

Suffian atau Mohammad Suffian Amrin yang mewakili kumpulan tersebut berkata, idea mengadakan konsert istimewa tersebut tercetus semasa mereka mengadakan persembahan di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) yang merupakan lokasi tertubuhnya Saujana.

"Waktu itu ada program alumni di sekolah dan kami membuat persembahan beberapa lagu. Ada alumni lain yang bertanya tentang konsert Saujana.

"Asalnya memang kami rancang nak buat persembahan berskala kecil seperti minum petang tetapi hikmah pandemik dan persahabatan yang terjalin sejak bangku sekolah mencetuskan idea konsert ini.

MRXH7954

Saujana adakan konsert untuk ubati rindu peminat.

"Kami juga sangat bersyukur kerana mendapat Dana Kandungan Digital (DKD) daripada pihak kementerian yang sangat membantu anak seni seperti kami bergiat lebih aktif,” katanya.

Suffian berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert Saujana 25 Tahun yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.

Lebih menarik lagi apabila konsert ini bakal menggabungkan kesemua anggota Saujana yang lain antaranya, Ahmad Zuhaidi Abdul Aziz, Dr Khairul Idzwan atau Idzu Baharin, Mohd Hakimi Harun, Dr Faizul Hizal Ghazali, dan Wan Najran Wan Noh.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Lain habis! Penampilan Idzu vokalis nasyid Saujana bikin ramai tak kenal, tapi lepas dengar suara terus teringat lagu ‘Sepohon Kayu’

ARTIKEL BERKAITAN: Bukan kejar populariti... Bekas ahli kumpulan Saujana, Dr Idzu Baharin keluar lagu baharu selepas 16 tahun menyepikan diri

Sementara itu, pengarah projek Konsert Saujana, Zuhaidi menjelaskan idea untuk menggabungkan semula Saujana dalam sebuah persembahan tercetus sejak lima tahun lalu.

“Apabila melihat ramai kawan-kawan dalam arena muzik nasyid membuat konsert melalui dana DKD, kami juga rasa terpanggil untuk buat.

“Lebih-lebih lagi Saujana tidak pernah buat konsert. Sedangkan kumpulan nasyid lain ada yang sudah buat lebih dari sekali konsert. Alhamdulillah, inilah masanya untuk kami gabungkan semula ahli-ahli lama untuk menghargai 25 tahun penglibatan Saujana,” kata Zuhaidi.

MRXH7769

Konsert 25 Tahun Saujana menggabungkan kesemua anggota.

Konsert Saujana 25 Tahun ini menampilkan konsep persembahan yang unik menerusi gabungan lagu ketuhanan dengan irama tradisional, hasil kolabrasi Saujana dengan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dibawah pimpinan Yazid Zakaria.

Dalam pada itu, konsert ini turut dibantu rakan rasmi seperti Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur, Istana Budaya Orkestra Tradisional Malaysia (OTM), AnNadi serta Zepp Kuala Lumpur.

Konsert ini turut menampilkan artis jemputan seperti Nazrey Johani, Ustaz Nabil, kumpulan Awla dan Andika.

Tiket dijual pada harga RM265 (Upper Deck- Platinum dan Ground Platinum), RM213 (Upper Deck-Gold dan Ground Gold), RM161 (Upper Deck- Silver dan Ground Silver) serta RM109 (Ground Bronze) dan boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain