suria

Kena kecam kongsi kemesraan di media sosial, Hana Ismail hanya serlahkan diri sebenar

Perkongsian di media sosial menggambarkan diri sebenar Hana.

PASANGAN Da'i Syed dan Hana Ismail tidak terlepas daripada kecaman apabila mereka dilihat sering berkongsi kemesraan selepas berkahwin di sosial media.

Hana atau Nurul Hana Ismail, 37, mengakui menggunakan medium itu sebagai tempat untuk dia menunjukkan kasih sayang sebenar sebagai pasangan suami isteri dan tidak mahu berpura-pura.

"Sama ada di media sosial atau di dunia realiti kami sama sahaja. Jadi saya tak naklah berpura-pura jarak dengan suami di media sosial sedangkan kami selalu duduk rapat apabila bersama. Saya hanya mahu jadi diri sendiri.

"Inilah masanya untuk saya tunjukkan kasih sayang terhadap suami. Saya faham apa yang ditunjukkan itu menjadi perhatian kerana kami dikenali. Semoga apa yang dikongsikan dapat memberi manfaat kepada orang ramai.

hana ismail 1

Hana harap perkongsian di media sosial dapat menjadi manfaat buat orang ramai.

"Bukan senang nak buat semua orang suka kepada kita. Jadi saya terima apa sahaja kata-kata orang terhadap kami," katanya kepada mStar.

Pasangan ini ditemui ketika majlis The Journey of Humankind dan siri animasi Musa Kalamullah anjuran aplikasi Nurflix di Hulu Kelang pada Khamis.

Menjadi kebiasaan orang yang baru berkahwin, soal zuriat dan perancangan membina keluarga juga sering ditanyakan kepada mereka.

Tidak pernah merasa tertekan dengan soalan sebegitu, kata Hana ia juga menjadi doa setiap kali orang mengharapkan mereka segera dikurniakankan cahaya mata.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Jarak usia 9 tahun buat Hana Ismail ragu-ragu, seminggu solat istikharah sebelum setuju kahwin Da'i Syed

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Da'i Syed sah bergelar suami Hana Ismail dengan sekali lafaz, akad nikah dalam bahasa Arab

"Saya tak pernah kisah pun orang tanya soal zuriat kerana itu juga doa buat kami. Sebenarnya kami tidak pernah merancang dan harap segera dikurniakan anak.

"Suami itu selalu pegang perut dan tanya 'dah ada isi ke?'. Tindakan itu juga adalah doa," jelasnya.

Selepas hampir dua bulan mendirikan rumah tangga, Hana akui banyak perkara baharu yang dia belajar tentang suaminya itu.

Bukan senang nak buat semua orang suka kepada kita. Jadi saya terima apa sahaja kata-kata orang terhadap kami

HANA ISMAIL

PERSONALITI TV

Dalam masa sama dia amat bersyukur dipertemukan jodoh dengan Syed kerana lelaki itu juga menjadi pembimbing yang banyak mengajar ilmu agama kepadanya.

"Suami saya ini sangat menghiburkan dan seorang yang ceria. Dalam sisi lain dia juga seorang yang tegas. Saya suka sifat itu kerana ia sangat bagus.

"Dia juga banyak berkongsi ilmu agama secara tidak formal. Bukan sahaja menjadi suami, malah dia juga ustaz dalam hidup saya," ujarnya.

hana ismail 2

Hana dan Syed sama-sama terlibat dalam animasi Musa Karimullah.

Hana sah bergelar isteri kepada Syed atau nama sebenarnya Syed Syah Iqmal Syed Mohammad Shaiful, 28, pada 3 Disember tahun lalu.

Hana dan Syed sama-sama terlibat meminjam suara mereka dalam animasi Musa Kalamullah yang sudah mula bersiaran di aplikasi Nurflix.

Drama animasi 13 episod itu membawa kisah perjuangan Nabi Musa AS sejak baginda dilahirkan sehinggalah berjuang menentang kerjaan firaun.

Antara selebriti lain yang turut terlibat adalah Datin Seri Heliza Helmi, Irma Hasmie, Ustazah Asni Mansor dan Hazwani Helmi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain