suria

[V] Jaclyn Victor ada ‘mantra’ sendiri di pentas GV9, hadiah RM100,000 untuk simpanan anak-anak

DISEBUT-sebut sebagai juara sejak awal pertandingan Gegar Vaganza musim ke-9 (GV9) bermula, Jaclyn Victor mengakui ia memberi tekanan kepadanya untuk memberikan persembahan terbaik setiap minggu.

Bagi Jaclyn atau Jac, 44, sepanjang 11 minggu bertanding ramai tidak tahu dia sebenarnya melalui pelbagai kesukaran termasuk gementar setiap kali menjejakkan kaki di pentas meskipun sudah berpengalaman.

"Orang mungkin nampak saya di atas pentas buat persembahan tetapi penonton tak tahu kesusahan yang dilalui sepanjang program ini.

"Setiap kali naik pentas memang jantung saya berdegup kencang apatah lagi orang meletakkan jangkaan saya sebagai juara, memang ada sedikit tekanan.

jac 13

Wang kemenangan adalah untuk simpanan anak-anak.

"Bagaimanapun saya tak mahu fikir semua itu. Apa yang penting adalah buat persembahan terbaik. Itu jadi ‘mantra’ saya setiap minggu,” katanya kepada mStar.

Hasil persembahan konsisten sepanjang bertanding, Jac berjaya bergelar juara pada peringkat final yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Shah Alam pada malam Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Jaclyn Victor tepati ramalan juara GV9, bawa pulang wang tunai RM100,000

ARTIKEL BERKAITAN: Impian ke final musnah, Dina Nadzir dan Fuad Rahman tersingkir separuh akhir GV9

Kemenangan tersebut melayakkan Jac membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000, pakej percutian ke Paris serta trofi.

Selepas berhempas-pulas dalam GV9, Jac memberitahu dia mahu berehat seketika untuk memberi fokus kepada dua anaknya.

"Kesian anak-anak sebab saya terlalu sibuk sepanjang penglibatan dalam GV9. Jadi rasanya dalam masa terdekat ini saya mahu rehat seketika untuk meluangkan masa dengan mereka.

Dalam masa terdekat ini saya mahu rehat seketika untuk meluangkan masa dengan anak-anak.

JACLYN VICTOR

JUARA GV9

"Sebahagian wang kemenangan ini juga saya akan bahagikan sama rata antara mereka berdua sebagai wang simpanan. Itu yang biasa saya lakukan,” jelasnya.

Bercakap tentang pengalaman kali ini, kata Jac persembahan rakan-rakan lain turut memberi semangat untuk dia berjuang meskipun pada awalnya berdepan dengan masalah suara akibat sinus kronik.

Dalam masa sama, dia juga tidak akan melupakan jasa pengarah muzik serta juri tetap GV9 iaitu Datuk Ramli MS yang banyak memberi tunjuk ajar sepanjang pertandingan berlangsung.

jac 12

Jac memberikan persembahan konsisten sepanjang bertanding.

"Dalam bidang ini memang tiada istilah sudah cukup bagus. Banyak yang saya belajar sepanjang di GV9. Tok Ram (Ramli) adalah seorang guru yang sangat hebat dan jasanya tidak akan terbalas.

"Melihat persembahan rakan-rakan artis lain, mereka semua mahu berikan kelainan. Saya ini bukan pandai berlakon sambil menyanyi di atas pentas... jadi dengan vokal yang ada ini saya berikan sebaik mungkin.

"Apabila melihat mereka lebih bagus, tak pernah rasa iri atau dengki, sebaliknya itu memberi saya semangat,” jelasnya.

Pada peringkat akhir itu Bob Yusof mendapat tempat kedua manakala Shila Amzah pula di tempat ketiga.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain