suria

Dalam gembira ada duka... Rebecca Nur Al Islam hamil anak keenam, ada kemungkinan terpaksa digugurkan

Rebecca memberitahu kehamilannya kali ini berisiko tinggi.

BERITA gembira yang diumumkan pelakon Datin Rebecca Nur Al Islam mengenai kehamilan anak keenam rupa-rupanya turut datang dengan khabar duka.

Rebecca, 36, berkata, kandungan itu berisiko tinggi kerana sebelum ini kesemua cahaya mata yang dilahirkan adalah menerusi pembedahan dan mungkin membahayakan dirinya kelak.

Apa lebih meruntun jiwa, Rebecca memberitahu ada kemungkinan dia tidak dapat meneruskan kehamilan itu bagi mengurangkan risiko ketika bersalin.

"Sebenarnya di sebalik berita gembira ini, saya dan suami perlu menerima hakikat bahawa kandungan kali ini sangat berisiko untuk saya.

"Esok kami akan berjumpa dengan pakar sakit puan untuk mengetahui sama ada kandungan ini boleh diteruskan atau pun tidak," katanya ketika dihubungi mStar.

rebecca2

Rebecca bakal bertemu dengan doktor pakar sakit puan untuk mengetahui keadaan kandungannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mawar Rashid hamil anak ketiga, alami alahan teruk sampai terpaksa berkurung dalam bilik

ARTIKEL BERKAITAN: Almy Nadia jalani pembedahan buang cyst, doktor sahkan hamil luar rahim

Menjelaskan mengenai kehamilan itu, Rebecca berkata, ia berisiko kerana akan menyebabkan kemudaratan terhadap diri termasuk risiko kematian ketika bersalin.

"Sekiranya saya pilih untuk meneruskan kehamilan ini, bayi akan selamat tetapi saya tidak.

"Apa-apa pun, semuanya bergantung kepada pemeriksaan dan keputusan yang akan diberitahu doktor nanti," jelasnya.

Dalam pada itu, Rebecca mengakui berasa teruja apabila disahkan hamil walaupun tidak menyangka bakal bergelar ibu lagi.

rebecca1

Rebecca bersama suami dan anak-anak.

Kata Rebecca, dia tidak kisah mempunyai anak yang ramai kerana dia sendiri memang sukakan kanak-kanak.

"Saya pada awalnya terkejut juga kerana tak merancang untuk hamil. Tetapi ini semua rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.

"Saya tak kisah mempunyai ramai anak kerana rumah saya sekarang pun dah macam sebuah tadika," katanya.

Sementara itu, pelakon ini memohon agar peminat mendoakan kandungannya berada dalam keadaan baik dan dapat menempuh tempoh kehamilan tanpa sebarang masalah.

Untuk rekod, Rebecca mendirikan rumah tangga bersama Datuk Nur Azman Sulaiman, 54, pada 14 Januari 2011 dan mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Nor Anggun Raverra, 10, Nor Anggerik Renesmee, 9, Nor Aliff Al-Raffael, 6, Nor Ahmed Al-Reaggan, 3, dan Nor Aurora Riana, 3.

Rebecca turut mempunyai seorang anak angkat iaitu Nor Adam Daniel yang kini berusia 14 tahun.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain