suria

“Pergi cari gambar saya berbikini, ada tak?” - Nasha Aziz pegang pada prinsip, resepi 30 tahun bertahan sebagai model

Nasha meletakkan syarat untuk pakaian yang akan diperagakan.

PELAKON dan model Nasha Aziz mendedahkan pernah melarikan diri daripada sebuah uji bakat sebagai pelakon sebuah iklan jenama antarabangsa gara-gara perlu memakai bikini.

Nasha atau Noraishah Abdul Aziz, 51, berkata, dia melarikan diri kerana tidak sanggup tampil berbikini yang turut melanggar prinsipnya sebagai seorang model.

"Ketika itu umur saya baru 19 tahun dan saya dijemput untuk menghadiri satu sesi uji bakat jenama antarabangsa yang popular.

"Saya lihat semua model di situ memakai bikini kerana konsep diberikan adalah tepi pantai. Saya pun berlari keluar dari bilik uji bakat dan memberitahu tidak mahu menjadi model," katanya kepada mStar.

nasha

Nasha percaya dengan bakat yang dikurniakan kepada dirinya.

Nasha berkongsi antara pengalaman 30 tahun sebagai model ketika menghadiri pertunjukan fesyen Muslimah tempatan, Munawwareen yang berlangsung di Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada Khamis.

Pelakon ini turut dipilih menjadi muse kepada jenama Muslimah tersebut.

Bagaimanapun kata Nasha, pegangan kuat terhadap prinsip dan rezeki, dia tetap diberi peluang untuk beraksi tanpa perlu memakai pakaian mencolok mata pada ujia bakat itu.

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Terima jambangan bunga setiap hari, Nasha Aziz kini sedang bahagia bercinta

ARTIKEL BERKAITAN: Gaun model hampir terlondeh di pentas KLFW2022... Ezuwan Ismail lega, kalau tak kena kecam satu Malaysia!

Kata Nasha, pihak klien yang meneliti profilnya tetap berminat untuk mengambilnya sebagai model dan membenarkan dia memakai pakaian lebih sopan untuk menjalani sesi uji bakat.

"Ketika itu saya bernaung di bawah agensi milik Puan Seri Tiara Jacquelina dan dia memberitahu klien sudah melihat profil dan berminat untuk saya menyertai mereka.

"Mereka membenarkan saya memakai kemaja-T dan seluar serta memberi bola dan gelung untuk beraksi.

nasha1

Ketika beraksi di pertunjukan fesyen Muslimah Munawarren.

"Saya buat uji bakat itu dengan bersahaja dan Alhamdulillah seminggu selepas itu, saya mendapat panggilan diterima membintangi iklan komersial tersebut," imbaunya.

Sejak daripada itu, Nasha percaya dengan bakat dikurniakan kepada dirinya tanpa perlu melanggar prinsip yang dipegang sepanjang bergelar seorang model.

"Sama juga jika saya dijemput oleh Zhang Toi dan Jimmy Choo di New York atau London, saya meletakkan syarat untuk pakaian yang akan diperagakan.

"Bagi saya, kerana bakat yang ada, mereka percaya dengan kebolehan saya dan mahu saya memperagakan koleksi mereka, jadi mereka setuju dengan segala permintaan saya,”

"Pergi cari gambar saya berbikini, ada tak? Itu yang membuatkan saya masih bertahan dalam dunia model sehingga ke hari ini," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain