suria

Punca jalan sesak, Caprice serba salah ramai tak dapat minyak percuma… Selepas ini mahu ‘belanja’ penjawat awam pula!

Caprice bersama peminat ketika pemberian minyak percuma.

TINDAKAN Caprice memberi minyak petrol percuma kepada orang ramai telah menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk di sekitar stesen minyak Petronas Jalan Jelatek II, Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada petang Jumaat.

Susulan kejadian itu, Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli tampil membuat permohonan maaf kepada semua pengguna jalan raya yang terkandas dalam kesesakan itu sekaligus memaklumkan ingin memberi minyak percuma sekali lagi.

Menurut penyanyi rap berusia 34 tahun itu, dia tidak menyangka stesen minyak tersebut diserbu ratusan orang yang tidak mahu melepaskan peluang mengisi petrol secara percuma yang dianjurkan olehnya.

ASTRO_4642

Caprice tak sangka pemberian minyak petrol percuma dapat sambutan.

"Pertama kali saya ingin memohon maaf kepada pengguna jalan raya di sekitar Titiwangsa, Setiawangsa, Keramat sehingga ke Ampang kerana berlaku kesesakan teruk.

"Saya sendiri tidak sangka suasana menjadi kecoh dan havoc sehingga berlaku kesesakan yang teruk sehingga ke KLCC," katanya.

Permohonan maaf tersebut dilakukan Caprice menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram miliknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Susulan kes saman, Caprice nak bagi kereta percuma kepada pengikut

ARTIKEL BERKAITAN: Caprice tak akan minta maaf terhadap SM Faisal, sedia ke mahkamah

Dalam pada itu, dia juga meluahkan rasa bersalah apabila mendapati golongan kakitangan kerajaan seperti askar dan jururawat yang turut beratur berjam-jam di stesen minyak tersebut tidak berpeluang untuk mengisi minyak secara percuma.

"Saya perasan ramai pengguna dalam kalangan kakitangan seperti askar dan jururawat yang beratur tidak dapat mengisi minyak walaupun telah lama beratur.

"Saya rasa bersalah sebab keluarga saya juga merupakan kakitangan kerajaan. Ibu saya merupakan seorang jururawat dan ayah saya pula bertugas di Wisma Putra. Saya rasa teruk sangat," katanya lagi.

Saya mahu buat sekali lagi pemberian petrol percuma.

CAPRICE

PENYANYI RAP

Bagi menebus rasa bersalah itu, Caprice memaklumkan dia akan membuat pemberian petrol percuma sekali lagi khas buat penjawat awam di kawasan Kuala Lumpur.

"Saya mahu buat sekali lagi pemberian petrol secara percuma khas untuk kakitangan kerajaan sahaja di Kuala Lumpur (akan diumumkan kemudian) dan di Pulau Pinang untuk semua orang pada minggu hadapan. InsyaAllah.

"Doakan pasukan saya dapat beri macam-macam barang untuk belanja rakyat," tambahnya.

306440643_5439354176182882_333884857586772545_n

Kesesakan lalu lintas ketika pemberian petrol percuma oleh Caprice.

Sementara itu, dia juga memohon maaf disebabkan stesen minyak tersebut terpaksa ditutup sementara akibat kehabisan minyak kerana sambutan yang menggalakan malah, pihaknya juga mengakui tidak mampu mengawal kesesakan jalan raya meskipun dibantu oleh pihak Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan polis pada hari kejadian.

"Sebagai penganjur, saya mohon maaf. Selepas kehabisan petrol, kami terpaksa menutup stesen minyak buat sementara waktu walapun masih ramai yang beratur," jelasnya.

Sebelum ini, Caprice mengumumkan akan memberi minyak petrol percuma sebanyak RM10,000 kepada orang ramai selain turut memberikan hadiah kepada pelanggan terawal seperti topi, kasut dan juga beberapa barang lain.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain