suria

Noh Hujan pegang rokok di KLFW2022 dapat perhatian Dr Noor Hisham, bimbang jadi ikutan masyarakat

Dr Noor Hisham menegur tindakan Noh memegang rokok ketika membuat kemunculan di pentas KLFW2022.

TINDAKAN penyanyi Noh Salleh yang selamba memegang sebatang rokok ketika membuat kemunculan di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW2022) Ahad lalu mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya memandang serius terhadap isu berkaitan selebriti yang menonjolkan tingkah laku seperti merokok dan menghisap rokok elektronik di khalayak ramai dan di pentas persembahan.

"Perbuatan ini menunjukkan contoh yang tidak baik kepada masyarakat sekeliling terutamanya kepada kanak-kanak dan remaja," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, dari sudut kesihatan, tabiat menghisap rokok atau vape sememangnya mendatangkan kemudaratan sama ada kepada perokok atau pun orang sekeliling mereka.

Noh

Tindakan Noh itu menyebabkan dia dikecam.

Dr Noor Hisham turut menggesa golongan artis dan selebriti untuk membantu usaha KKM bagi memastikan perbuatan merokok dapat dijadikan sebagai satu budaya yang tidak diterima dalam kalangan masyarakat.

Sebagai seorang selebriti katanya, tingkah laku mereka sentiasa diperhatikan oleh masyarakat dan akan menjadi ikutan.

ARTIKEL BERKAITAN: Noh Salleh naik pentas KLFW2022 bawa rokok, macam tengah jalan-jalan cari lighter... “Hati kau keras bang”

ARTIKEL BERKAITAN: “Cari balik malu dan simpan baik-baik” - Eyka Farhana tampil nampak pusat, beraksi seksi dalam kempen pakaian dalam

"Sebagai selebriti mereka mempunyai tanggungjawab untuk menunjukkan tingkah laku yang baik dan boleh menjadi teladan kepada masyarakat," katanya.

Ini juga kata Dr Noor Hisham selaras dengan hasrat KKM untuk membentangkan Rang Undang-undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 supaya dapat dilaksanakan bagi mengekang masalah merokok dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Terdahulu, Noh menerima kecaman hebat netizen akibat tindakannya itu meskipun rokok berkenaan tidak dinyalakan.

Rata-rata menyifatkan perbuatannya itu sebagai biadab kerana umum mengetahui tabiat merokok membahayakan kesihatan apatah lagi dia dijadikan idola oleh peminat.

Menerusi awal video yang tular di media sosial, Noh kelihatan seperti bertanya kepada penonton yang hadir meminta pemetik api untuk menyalakan rokok berkenaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain