suria

Diet HCG rahsia Shahz Jaszle berjaya turun 14kg dalam 23 hari, jaga penampilan untuk kekal relevan

Shahz usaha turunkan berat badan demi kerjaya.

SEDAR penampilan menjadi faktor utama untuk kekal relevan dalam industri seni, pelakon Shahz Jaszle sanggup berusaha menurunkan berat badannya hanya dalam tempoh 23 hari.

Menurut Shahz atau nama sebenarnya Mohd Shahrizal Jaszle Jasmin, 34, dia mengamalkan diet human chorionic gonadotropin (HCG) dan hanya mengambil 500 nilai kalori sehari sepanjang tempoh tersebut.

"Sebelum ini saya jarang diberi watak utama disebabkan faktor fizikal. Jadi saya tanamkan dalam diri untuk dapatkan bentuk badan yang baik sebagai tanda kemunculan semula.

shahz 1

Shahz percaya penampilan jadi faktor utama kekal relevan.

"Saya berjaya turunkan sebanyak 14 kilogram dari 86 kg sebelum itu. Setiap hari saya hanya makan ikan siakap yang dikukus dan brokoli. Memang rasa muak, tetapi demi hendak kurus saya sanggup buat," katanya kepada mStar.

Shahz ditemui ketika sidang media pelancaran drama baharu lakonannya berjudul Cinta Hilang Kata yang akan mula bersiaran pada 18 Julai ini di saluran Astro Prima.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak dah masuk sekolah, Shah Jaszle lebih sibuk uruskan keluarga... Tak boleh lepak lama-lama macam dulu

ARTIKEL BERKAITAN: Shahz Jaszle Malu Jadi Gemuk

Diet HCG ialah diet ketat bertujuan untuk menurunkan berat badan dalam tempoh yang cepat dalam sehari.

Ia dikatakan mampu meningkatkan metabolisme dan kehilangan lemak tanpa menyebabkan rasa lapar. HCG ialah hormon yang dihasilkan dalam jumlah yang besar semasa awal kehamilan.

Menurut Shahz dia sendiri dapat merasakan layanan berbeza yang diberi apabila penampilannya kini mula berubah.

Sebelum ini saya jarang diberi watak utama disebabkan faktor fizikal

SHAHZ JAZLE

PELAKON

Malah Shahz turut menzahirkan rasa syukur kerana masih diberi kepercayaan untuk menggalas watak hero meskipun semakin ramai artis baharu muncul ketika ini.

"Faktor utama untuk kekal relevan dalam industri adalah perlu kekalkan bentuk badan yang menarik. Saya sendiri merasakan dapat layanan berbeza berbanding sebelum ini ketika badan sedikit berisi.

"Syukur apabila kembali diberi tawaran sebagai hero. Rasanya sudah lama tidak menerima watak utama," ujarnya.

shahz 2

Barisan pelakon Cinta Hilang Kata.

Sementara itu, Shahz berkata, walaupun sudah berpengalaman dan bergelar senior dalam industri lakonan, namun ia bukan alasan untuknya bersikap demanding.

"Sebagai pelakon semestinya saya ada harga sendiri, namun itu tidak bermakna saya demanding. Industri ini juga adalah perniagaan dan harga untuk sesebuah tawaran masih boleh runding.

"Hendak bersaing dengan pelakon baharu yang usia 20-an bukan mudah. Sebab itu perlu sentiasa menjaga kualiti dalam lakonan," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain