suria

[VIDEO] Didakwa edar dadah jenis ganja, Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati

Yasin didawa edar dadah jenis ganja.

PENYANYI dan komposer Yasin Sulaiman berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondomonium pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu terletak di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

ARTIKEL BERKAITAN: Artis nasyid popular berdepan hukuman gantung, 17 pokok ganja ditanam dalam rumah

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Yasin Sulaiman kirim salam kepada Syed Saddiq, bakal didakwa tanam ganja dalam rumah

Mengikut pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah, penyanyi lagu Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ganja dengan berat dianggarkan 214 gram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondomonium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada pukul 5.30 petang pada 24 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan jika tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu dalam prosiding berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen, Norshila Kamaruddin, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah merah yang mana daripadanya Kanabis (ganja) yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Pokok ganja yang terdapat di rumah penyanyi nasyid.

17 pasu pokok ganja ditemui di kediaman Yasin.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, mahkamah bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap penyanyi tersebut.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Al-Saifi Hashim dan Asnawi Abu Hanipah manakala Yasin diwakili peguam Yusmadi Yusoff.

Minggu lalu, kegiatan bekas anggota kumpulan The Brothers itu yang didakwa menanam pokok ganja terbongkar selepas kediamannya diserbu pihak polis.

Dalam serbuan pada 5.30 petang, polis menemukan 17 pokok dalam pasu disyaki ganja di bilik, balkoni rumah dan dalam almari baju.

Polis turut menemukan dua plastik berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 214 gram, cecair pemusnah serangga, alat pengukur kandungan PH air, alat penyukat suhu, lampu, alat menyiram tanaman dan alat pengudaraan.

Mahkamah menetapkan tarikh 18 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain