suria

Zarina Anjoulie mengaku ambil dadah, didenda RM4,000

Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul didakwa atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

MAHKAMAH Majistret Seremban menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap selebriti sensasi, Zarina Anjoulie Lavocah Mohamad Fahizul atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan pada Jun tahun lalu.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman berkenaan terhadap selebriti berusia 34 tahun itu selepas dia membuat pengakuan bersalah pada Selasa.

Pendengaran kes Zarina sepatutnya diadakan pada Rabu, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman kepada pihak media.

"Sepatutnya (kes) berjalan hari ini, namun peguam yang mewakili selebriti itu, Ahmad Faiz Munawar memohon kepada mahkamah untuk diadakan lebih awal iaitu pada Selasa (semalam).

"Selain didenda RM4,000, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani pengawasan polis selama dua tahun dan jika gagal membayar denda berkenaan dia berdepan hukuman penjara empat bulan," katanya.

Bagaimanapun, Zarina telah membayar denda itu.

Pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi.

Terdahulu, Zarina didakwa di Mahkamah Majistret sama atas pertuduhan menggunakan dadah jenis Methamphetamine dan ujian saringan air kencingnya didapati positif dadah jenis itu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain