suria

Lapan penyanyi hip hop bergabung dalam ‘Dua Puluh’, sebar mesej pengorbanan termasuk nasihat kawan toksik

Lapan penyanyi rap muda bergabung dalam lagu Dua Puluh.

BAGI merealisasikan impian peminat hip hop generasi baharu, lapan penyanyi muda iaitu Yonnyboii, Kmy Kmo, Luca Sickta, Ical Mosh, Benzooloo, B-Heart, Juki, dan Siqma bergabung menerusi lagu baharu berjudul Dua Puluh.

Mengakui proses pembikinan lagu ini bukan mudah kerana membabitkan lapan penyanyi, Luca berkata hal tersebut berjaya diatasi apabila kesemuanya menunjukkan profesional dalam kerja sehingga terhasil lagu berkenaan.

"Yang mencabar adalah sewaktu proses mixing dan mastering... ini kerana semua yang terbabit perlu menjalankan proses rakaman berasingan jadi kualiti bunyi untuk setiap rakaman lain-lain namun kami bertungkus lumus juga sama ratakan semua kualiti suara.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramuan menjadi... ‘Tak sangka’ Yonnyboii, Zynakal, Asyraf Nasir jadi juara carta

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas 'Neraca' bersama Jamal Abdillah, Luca Sickta dan Kmy Kmo mahu kolaborasi dengan penyanyi 'A list' pula - “Kami mahu habiskan dahulu senarai legenda”

"Untuk penggambaran muzik video, kami terpaksa mengubah storyboard asal gara-gara kekangan cuaca tidak menentu namun mujur selesai juga kesemuanya.

"Kami harus meredah tempoh yang cukup panjang dari tengah hari sampai ke keesokan paginya semata-mata bagi mendapatkan hasil terbaik," katanya kepada mStar.

dua puluh

Dari kiri; B-Heart, Yonnyboii, Juki dan Luca.

Dua Puluh digubah daripada lagu asal Marysia tulisan Kmy dan B-Heart dan membawa makna cukup besar secara peribadi buat mereka semua.

Pengasas jenama pakaian Playaz iaitu Moiz Ali, dan Ketua Def Jam Malaysia, Hermond Cheng menjadi individu penting yang bertanggungjawab dalam menggabungkan kelapan bintang rap itu tampil dengan karya tersebut.

Pengalaman bekerja dengan yang lain sememangnya cukup bermakna besar untuk saya.

JUKI

PENYANYI RAP

Berkongsi cerita di sebalik lagu ini, Kmy berkata mereka menyelitkan nilai positif yang boleh memberi pengajaran kepada pendengar.

Antara yang disentuh ialah cabaran memulakan penghijrahan ke kota besar, aspek keyakinan diri dan nasihat mengenai sifat manusia yang boleh menjadi toksik kepada individu lain.

"Ia sebuah lagu yang mengisahkan mengenai ujian, usaha dan pencapaian masing-masing contohnya usaha saya sendiri dari kampung ke kota raya kemudian ke peringkat antarabangsa.

"Lagu yang bertenaga dan mempunyai aura tersendiri, tambahan pula dengan barisan rakan-rakan hebat dengan karakter berbeza," kata Kmy.

20 2

Penyanyi lagu Dua Puluh bergambar kenangan bersama Ketua Def Jam Malaysia, Hermond Cheng dan Joe Flizzow semasa majlis pelancaran, baru-baru ini.

Sementara itu Juki yang juga pemenang Playaz Rap Challenge 2020 mengakui teruja bergandingan dalam lagu ini kerana merupakan pengalaman pertama dia bekerjasama dengan tujuh lagi penyanyi hebat lain.

"Untuk bahagian lirik saya lebih kepada kita kena berhati-hati dengan siapa kita percaya. Sesiapa boleh menjadi musuh kita dan boleh jadi orang paling rapat dengan kita sendiri.

"Pengalaman bekerja dengan yang lain sememangnya cukup bermakna besar untuk saya,” ujarnya.

Dalam pada itu, B-Heart, Luca, Kmy dan Juki berharap lagu ini menerima sambutan hebat pendengar muzik tanah air.

"Semoga semua pendengar kami dapat menerima baik dan semoga lagu Dua Puluh ini menjadi lagu kegemaran peminat-peminat muzik hip hop sebagai penutup dari kami untuk tahun 2021 ini.

"Harapan saya supaya peminat boleh menerima eksperimen yang saya lakukan untuk lagu ini serta berseronok bila mendengar lagu ini.

"Memandangkan lagu asalnya adalah Marysia dihasilkan B-Heart dan Kmy, saya harap peminat lagu itu akan bersedia untuk menyambut baik versi baharu yang kami hasilkan pula," kata Luca.

Dua Puluh sudah berada di semua platform digital bermula 3 Disember lalu manakala video muziknya pula boleh ditonton menerusi saluran Youtube Playaz Network.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain