suria

Ramuan menjadi... ‘Tak sangka’ Yonnyboii, Zynakal, Asyraf Nasir jadi juara carta

Tiga penyanyi muda berbakat besar ini teruja lagu Tak Sangka terima sambutan hebat pendengar.

SELEPAS dua bulan dilancarkan, lagu berjudul Tak Sangka kolaborasi Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir berjaya melakar sejarah menduduki tempat pertama dalam Carta RIM selama enam minggu berturut-turut.

Teruja dengan pencapaian itu, Yonnyboii mengakui kerja keras yang dilakukan olehnya bersama dua lagi sahabat membuahkan hasil cukup membanggakan.

"Sejujurnya, kami tidak menyangka, namun pada masa sama memiliki keyakinan cukup tinggi terhadap single Tak Sangka. Kami membuat persiapan bersungguh-sungguh, walaupun banyak perancangan terpaksa ditunda akibat pandemik Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Zynakal, Yonnyboii dah 'move on', kena terima hakikat walaupun sakit! - “Tuhan akan bagi lebih nanti”

ARTIKEL BERKAITAN: Yonnyboii ubah lagu demi Zynakal - “Ketika itu dia sedang sedih dan bermasalah”

"Alhamdulillah, kami dapat melancarkan single Tak Sangka pada masa yang tepat dan karya ini cukup istimewa kerana ia adalah kolaborasi pertama kami bertiga.

"Apabila dapat bekerjasama dengan rakan baik dan satu label, keterujaan lebih luar biasa," kata Yonnyboii kepada mStar.

tak sangka 4

(Dari kiri); Zynakal, Yonnyboii dan Asyraf Nasir teruja lagu Tak Sangka terima sambutan hebat.

Sementara itu, Zynakal pula menyifatkan projek berkenaan cukup bermakna buat dirinya kerana dia banyak mempelajari ilmu baharu sepanjang proses pembikinan.

"Alhamdulillah, single Tak Sangka memberi impak dan ia banyak membantu kami. Pencapaian ini disebabkan keserasian kukuh antara kami.

"Walaupun pertama kali bertemu Asyraf ketika proses rakaman lagu, tetapi kami mudah mencipta keserasian," katanya.

Kejayaan Tak Sangka membuktikan generasi baharu hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya!

JOE FLIZZOW

PENYANYI RAP

Seorang lagi rakan kolaborasi iaitu Asyraf Nasir berharap single baharu mereka ini dapat meniupkan semangat buat pendengar hip hop daripada pelbagai lapisan usia.

"Saya teringin melihat single Tak Sangka dibawa pada acara anugerah dan pentas lebih besar jika ada rezeki.

tak sangka 3

Tiga sahabat ini mahu bawa kelainan dalam muzik mereka.

"Bagi saya, kekuatan single Tak Sangka ini terletak pada ramuannya. Ini kerana Zynakal dan Yonnyboii ada cara tersendiri, begitu juga saya. Walaupun terdapat perbezaan, kami memiliki suara hati sama.

"Itu adalah kekuatan utama, selain irama muzik bukan hip hop yang klise. Pendengar boleh menilai sendiri single Tak Sangka. Apabila mendengarnya, dengan sendiri mereka akan bergoyang dan menikmati dengan penuh keseronokan," ujarnya.

Memuji usaha yang dilakukan oleh tiga anak muda ini, Pengarah Urusan Def Jam SEA iaitu Joe Flizzow menyifatkan kejayaan itu menjadi alibi muzik hip hop tempatan kian tinggi martabatnya.

tak sangka 2

Joe Flizzow puji bakat dan keberanian tiga anak muda yang mencipta lagu Tak Sangka.

"Bagi saya, kejayaan single Tak Sangka membuktikan generasi baharu hip hop di Malaysia mempunyai kematangan dan keberanian dalam penghasilan karya. Ia juga menunjukkan peminat semakin menghargai lagu rap tempatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah A&R & Pemasaran dan Ketua Def Jam Recordings Malaysia, Hermond Cheng pula berkata pencapaian itu cukup besar maknanya buat mereka.

"Kami memang tahu betapa berbakat dan besar potensi tiga penyanyi muda itu dalam membawakan angin segar dalam industri muzik. Tak Sangka juga antara karya yang kami sangat yakini mampu cipta evolusi.

"Jelas ia terbukti dengan pencapaian terbaru itu dan semestinya dalam pada tidak jangka, kami sangat bangga mengenainya," katanya.

Tak Sangka yang merupakan ciptaan sepenuhnya tiga anak muda ini boleh didengar dan ditonton di semua platform digital sejak 20 Ogos lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Messi menang anugerah Ballon d'Or