suria

Ramona Zamzam berang dituduh pro-Zionis - “Gila ke? Saya berkahwin dengan orang Palestin”

Ramona terganggu dengan apa yang terjadi di tanah kelahiran suaminya, di Palestin.

SERANGAN zalim Israel ke atas Pelestin turut memberi kesan mendalam kepada pelakon Ramona Zamzam memandangkan ia merupakan tanah kelahiran suaminya iaitu Rami Alashkar.

Biarpun keluarga mentuanya tidak berada di sekitar lokasi kejadian, namun Ramona atau nama sebenarnya Ros Ramona Qadira Mohd Zamzam berkata suaminya masih mempunyai saudara-mara di Gaza.

ARTIKEL BERKAITAN: “Dia tak pernah sakiti hati sesiapa” – Rakan-rakan sebak di pusara, remaja Palestin paling ceria di kampung ditembak mati tentera Israel

Akui hatinya hancur melihat video kekejaman dan keganasan yang berlaku di sana, pelakon berusia 31 tahun itu mengambil pendekatan berehat daripada media sosial sejak seminggu lalu.

Ramona kongsi kenyataannya di Instagram.

"Terima kasih kepada yang menyokong Palestin. Yang tanya pasal Rami dan keluarganya, saya sangat hargai. Alhamdulillah, mereka semua okey. Keluarganya tidak berada di Malaysia tetapi di negara lain.

"Ya betul, Rami masih ada saudara-mara di Gaza dan media sosial sekarang dihujani dengan visual keganasan di sana. Saya sendiri mengambil pendekatan untuk berehat daripa media sosial sejak seminggu lalu.

"Dada saya sakit, hati saya hancur melihat segala video yang dikongsikan. Saya terlalu lemah," kata Ramona menerusi kenyataan yang dimuat naik di Instagram miliknya.

Dalam pada itu, Ramona memberitahu biarpun suaminya kini menetap di Malaysia, namun solidariti dan sokongan masih utuh buat keluarganya di bumi bergolak itu.

Media sosial ni bukan segala-galanya, kamu boleh kongsikan apa saja.

RAMONA ZAMZAM

PELAKON

Tambah Ramona lagi, Rami antara keluarga yang diusir Israel dari tanah mereka sendiri dan terpaksa merantau ke negara lain bagi mencari penempatan baharu.

"Rami sendiri sentiasa berhubung dengan keluarganya di Palestin. Saya akan menjelaskan isu buat yang bertanya adakah Rami akan pulang ke Palestin. Jawapannya tidak, Rami dan keluarganya tidak dibenarkan balik ke Palestin selama-lamanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kenapa? Sebab tanah mereka adalah salah satu tanah yang telah diambil oleh orang Israel dan mereka sudah keluar dari negara itu sejak sekian lama.

"Daripada kecil keluarga Rami dah berpindah-randah ke negara lain dan itu cara mereka untuk survival. Jarang jumpa? Oh, mereka sudah biasa. Sudah sembilan tahun Rami tak berjumpa bapanya.

Ramona bersama suami dan anak mereka.

"Kali terakhir bertemu dengan ibunya semasa saya baru habis pantang (awal 2018) itu pun sebab dia gagahkan juga datang ke Malaysia untuk berjumpa cucunya," ujarnya.

Sementara itu, Ramona menegaskan bahawa tindakannya berdiam diri daripada berkongsi apa yang terjadi di Palestin bukan membuktikan dia seorang pro-Zionis.

"Untuk yang menuduh saya pro-Zionis, tolonglah berhenti. Hanya kerana saya tidak upload apa-apa berkaitan Palestin tidak bermakna saya tak sokong. Gila ke? Saya berkahwin dengan orang Palestin.

"Media sosial ni bukan segala-galanya, kamu boleh kongsikan apa saja. Saya tak mahu hipokrit hanya kerana orang lain berkongsi hal yang sama. Tuduhan saya pro-Zionis merepek sekali," tambahnya.

Untuk rekod, Ramona dan Rami telah mendirikan rumah tangga pada 1 Mei 2015 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Ivanna Alaskhar yang kini berusia empat tahun.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain