suria

Kisah hidup Dolla diangkat dalam telefilem meski baru setahun jagung jadi penyanyi - “Tak kisah jika ada yang kata kami kayu”

Kumpulan Dolla teruja Astro mahu terbitkan telefilem mengenai kisah hidup mereka.

BARU setahun berada dalam industri seni, kumpulan Dolla teruja dan berbangga apabila kisah hidup mereka diangkat dalam telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow.

Salah seorang anggota kumpulan Dolla iaitu Sabronzo berkata dia tidak menyangka Astro menunjukkan minat menghasilkan telefilem ini meskipun mereka masih baharu dalam industri.

"Apabila pihak Universal Music memaklumkan mengenai tawaran pihak Astro, kami sangat terkejut sebab jika hendak dibandingkan dengan kumpulan atau penyanyi lain, kami masih lagi terlalu hijau dan kerdil.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu Dolla tiru Blackpink jadi perhatian media Korea Selatan - “Ramai yang komen positif terutamanya orang dari luar negara”

"Lagipun kami masih belum mempunyai sebarang pencapaian yang boleh dibanggakan, jadi kami rasa Dolla belum layak untuk menerima pengiktirafan sejauh itu, bagaimanapun kami tetap berbangga sekurang-kurangnya ada pihak yang mengiktiraf bakat kami," katanya.

Berkongsi pengalaman kali pertama mencuba bidang lakonan, Sabronzo mengakui sedikit kekok ketika memasuki set penggambaran, namun masalah itu dapat diatasi dengan bantuan pengarah serta krew.

70 peratus jalan cerita telefilem ini merupakan kisah benar kehidupan Dolla.

Dalam masa sama, Dolla yang turut dianggotai oleh Tabby, Syasya, dan Angle ini bersedia berdepan kritikan penonton mengenai lakonan mereka.

"Tidak dinafikan bukan mudah sebenarnya untuk bergelar pelakon, apatah lagi ini adalah pengalaman pertama semua anggota Dolla. Nasib baik pengarah dan krew banyak membantu sewaktu di set, jadi kami berjaya juga menghayati watak masing-masing.

Tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton, jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami!

SABRONZO

AHLI KUMPULAN DOLLA

"Bagi saya bahagian paling sukar apabila dipaksa untuk menangis... saya amat mengagumi Tabby dan Syasya sebab mereka boleh melakonkan adegan menangis dengan baik.

"Dolla juga sudah bersedia dikritik oleh penonton. Kami tidak kisah sekiranya ada yang mengatakan kami kayu selepas menonton aksi pertama kami sebagai pelakon. Kami dikenali sebagai penyanyi dan penari, bidang lakonan bukan kepakaran kami, jadi adatlah jika penonton merasakan mutu lakonan kami belum memuaskan, ” katanya.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Dalam pada itu, Sabronzo berkata jalan cerita Dolla Watch Me Glow hampir 70 peratus mengenai kisah hidup anggota kumpulan itu.

Salah satu babak Sabronzo bersama pelakon baharu, Aniq Suhair.

"Memang hampir 70 peratus kisah yang dipaparkan dalam telefilem itu ada ke mana mengena dengan kami. Cuma 30 peratus yang ditokok tambah bagi mewarnai telefilem itu dan menjadikan jalan cerita drama itu menjadi lebih menarik.

"Bagi kami tiada apa yang perlu dirahsiakan daripada penonton, jadi apa yang bakal peminat saksikan nanti memang kisah hidup sebenar kami," ujarnya.

Telefilem berjudul Dolla Watch Me Glow terbitan Zeel Production dengan kerjasama Astro dan Universal Music itu bakal menemui peminat pada Sabtu ini pukul 9 malam menerusi saluran Astro Citra dan Astro Citra HD.

Dolla Watch Me Glow arahan Izuan Mokhtar diinspirasikan dari kisah benar kumpulan Dolla iaitu Tabby, Syasya, Sabronzo dan Angle.

Selain Dolla, telefilem itu turut dibarisi Fauziah Nawi, Angeline Tan, Aniq Suhair, Azwan Ali, Catriona Ross, Aida Aris dan Douglas Lim.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain