suria

Kurang ajar! Ashraf Muslim bengang iklan judi Aidilfitri ajak orang buat dosa bulan Ramadan - “Kalau korang ni Islam menjawablah dengan Allah”

Ashraf anggap pihak terlibat dalam video tersebut biadab kerana tidak menghormati bulan ramadan.

VIDEO iklan raya mempromosikan aktiviti perjudian yang tular sejak Khamis bukan sahaja mengundang kemarahan segelintir netizen tetapi juga selebriti tempatan, Ashraf Muslim.

Berang dengan kandungan video tersebut, Ashraf atau nama sebenarnya Muhd Ashraf Muslim, menganggap pihak yang terlibat dalam pembikinan iklan itu biadab kerana tidak menghormati bulan ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video lagu raya ajak orang ramai main judi, pelakon Melayu juga bersubahat! Tak hirau sensitiviti umat Islam

Malah pelakon berusia 40 tahun ini juga mempertikaikan tindakan barisan pelakon dalam video tersebut yang menyanyikan lagu Hari Raya Aidilfitri sebagai muzik latar iklan tersebut.



Ashraf turut memuat naik semula video tersebut.

"Kurang ajar! Allahuakbar! Makin menjadi-jadi manusia sekarang. Secara terang-terangan mengajak orang ramai buat dosa. Bulan Ramadan, bulan yang baik, bulan yg penuh rahmat Allah.

"Tapi video yang korang tengok ni telah merosakkan bulan yang suci ini. Kurang ajar la siapa yang terlibat dalam pembikinan video ni. Takkan tak tahu video ni fasal apa? Judi laa!

"Judi itu haram! Mana iman? Mana akidah? Ini negara Islam jangan buat onar macam ni! Aku tak tahulah, yang berlakon dalam video ni sedar ke tak sedar apa yang dinyanyikan tu," tulisnya di Instagram.

Kemunculan sebuah iklan yang mempromosikan aktiviti perjudian dengan menggunakan lagu hari raya Aidilfitri sebagai muzik latar, mengundang kecaman netizen gara-gara menyinggung sensitiviti umat Islam.

Kalaulah korang ni Islam, menjawablah dengan Allah.

ASHRAF MUSLIM

PELAKON

Iklan yang dikeluarkan sebuah syarikat judi berjudul GDBet333 Hari Raya berdurasi dua minit itu mengajak orang ramai meraih wang berganda dengan menggunakan perkhidmatan syarikat mereka bagi mencari dana untuk berhari raya.

Difahamkan, video iklan tersebut dimuat naik hampir seminggu lalu di YouTube.

Namun hasil carian di laman berkenaan mendapati iklan tersebut sudah dipadamkan kerana melanggar garis panduan komuniti YouTube.

Dalam pada itu, Ashraf turut menjelaskan tujuan dia berkongsi video tersebut kerana ingin memberi kesedaran kepada masyarakat sekali gus menyelar pihak syarikat tersebut yang berani mempromosikan iklan seperti itu.



Salah satu babak dalam video tersebut.

"Memang tak fikir panjang bila buat semua ni. lepas itu berani pula nak promosi macam ini. Kalaulah korang ni Islam, menjawablah dengan Allah.

"Aku post video ni bukan untuk korang main judi atau nak promosi perniagaan mereka tapi nak beritahu kepada masyarakat, ini adalah cara-cara anasir-anasir yang ingin merosakkan Islam secara halus.

"Dan media sosial adalah tempat yang mudah untuk mereka sampaikan. Video ni adalah jahat sama sekali dan ini adalah salah!" ujarnya.

Sementara itu, pelakon drama siri Dia Menantu Rahsia ini juga memohon agar pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap semua orang yang terlibat dalam video tersebut termasuk klien, produksi, pelakon dan kru.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain