suria

Marsha Milan tiada masalah bawa watak antagonis bertudung - “Dalam dunia realiti, ada orang yang berhijab tetapi hati busuk”

Marsha Milan menjayakan watak antagonis bertudung dalam Rindu Aku Separuh Nyawa.

PELAKON Marsha Milan memberitahu dia tidak mempunyai sebarang isu untuk menerima watak antagonis bertudung biarpun terdapat segelintir aktres yang enggan melakukannya.

Menurut Marsha atau nama sebenarnya, Marsha Milan Londoh, 36, apa yang dilakukan itu hanya lakonan semata-mata dan percaya ia tidak menggambarkan mana-mana pihak.

ARTIKEL BERKAITAN: Atikah Suhaime rela tiada ‘job’, enggan terima watak jahat berhijab, perampas! - “Nanti semua fikir perempuan bertudung tak boleh dipercayai”

"Itu pilihan masing-masing sekiranya ada mana-mana pelakon yang enggan membawakan watak antagonis bertudung.

"Bagi Marsha, kita kena fikir daripada sudut lakonan... mungkin dalam dunia realiti, ada orang yang berhijab tetapi hati busuk tapi kita tidaklah potretkan itu.

"Marsha cuma lakukan watak ini dengan jayanya mengikut seperti mana yang dikehendaki pengarah," katanya kepada mStar.

Marsha tidak memilih watak.

Marsha melakonkan watak antagonis seorang wanita bertudung labuh bernama Nurul Huda dalam drama Rindu Awak Separuh Nyawa yang turut dibintangi oleh Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose.

Sepanjang kerjaya dalam bidang lakonan, watak ini merupakan kali pertama yang memerlukan Marsha untuk mengenakan hijab yang pastinya turut mempunyai cabarannya yang tersendiri.

Itu pilihan masing-masing sekiranya ada mana-mana pelakon yang enggan membawakan watak antagonis bertudung.

MARSHA MILAN

PELAKON

"Watak yang saya lakonkan dalam drama ini memang sama sekali berbeza dengan karakter sebenar saya.

"Susah saya nak maintainkan bentuk tudung sebab saya seorang yang hyper. Susah nak buatkan tudung tu bertahan lama dalam set, selalu senget, owning jatuhlah.

"Mungkin sebab saya belum biasa berhijab... jadi agak sukar biasakan diri untuk sentiasa kelihatan kemas," ujarnya.

Selain Marsha, Rindu Aku Separuh Nyawa turut dibintangi Shukri Yahaya dan Uqasha Senrose.

Pelakon kelahiran Sabah ini juga sudah bersedia sekiranya wataknya itu dikecam netizen.

"Sudah lama saya tidak bawakan watak antagonis... paling-paling watak hantu, gila-gila dan kelakar.

"Jika saya dikecam maknanya watak yang saya bawakan menjadi. Saya anggap ia merupakan suatu kejayaan dari sudut membawakan watak Nurul Huda," katanya.

Rindu Awak Separuh Nyawa yang diarahkan oleh Along Kamaludin bakal ditayangkan bermula 23 Mac ini, setiap hari Isnin hingga Khamis, pukul 10 malam menerusi slot Megadrama di saluran Astro Ria HD (104) dan Astro Ria (124).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain