suria

Sering bergerak solo, Azmi Saat akui pernah selisih faham dengan Caliph Buskers - “Saya tak lupakan mereka, kalau ada rezeki lebih selalu belanja makan”

Hubungan Azmi Saat dan rakan-rakan dalam Caliph Buskers masih baik biarpun pernah berselisih faham sebelum ini.

SERING muncul secara solo di mana-mana persembahan sejak kebelakangan ini, vokalis kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat mengakui perkara itu pernah menjadi pertikaian dalam kalangan ahli kumpulan mereka sejak beberapa tahun lalu.

Namun, hal itu tidak berlarutan selepas masing-masing melihat komitmen tidak berbelah bahagi yang ditunjukkan Azmi terhadap kelangsungan band mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Azmi Caliph Buskers hidup susah awal perkahwinan, gadai gelang emas isteri sebab nak pindah rumah - “Dia penjawat awam ada gaji tetap”

"Sebenarnya sejak 2018 lagi, saya ada masuk satu program hiburan secara solo dan daripada situ timbul perselisihan faham di antara kami.

"Mereka risau kalau-kalau saya akan bawa diri secara solo namun saya dah buktikan pada mereka yang kami masih lagi bersama sehingga kini dan dapat berikan 100 peratus komitmen bila bersama dengan Caliph Buskers.

"Walaupun saya sering diberikan tawaran kerja secara berseorangan, namun saya tak pernah lupakan kawan-kawan dalam Caliph Buskers... kalau ada rezeki lebih, memang saya selalu belanja mereka makan," katanya kepada mStar.

Azmi bersama artis naungan Universal Music Malaysia, Nuha Bahrin, Siqma, FML, Asyraf Nasir dan Eemrun.

Azmi ditemui pada majlis ramah mesra bersama artis naungan Universal Music Malaysia yang berlangsung di Bsync Studio, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mereka risau kalau-kalau saya akan bawa diri secara solo namun saya dah buktikan pada mereka yang kami masih lagi bersama sehingga kini.

AZMI SAAT

PENYANYI

Selain Azmi, Caliph Buskers turut dianggotai oleh Zaki selaku pemain bass, Fendy (pemain dram), Nirwan (pemain gitar) dan Nadira (shaker).

Sementara itu, dalam perkembangan terbaharu, Azmi tampil dengan single Tulus yang merupakan lagu ciptaan pertamanya yang ditulis pada tahun 2008.

Azmi tampil dengan single baharu, Tulus yang ditujukan khas buat isteri tercinta.

Menampilkan melodi dan lirik mengenai kisah perasaan terhadap orang dicintai, Tulus begitu istimewa buat Azmi kerana dia mendedikasikan lagu tersebut kepada isteri tercinta yang sentiasa bersamanya dalam keadaan susah dan senang.

"Pada awal perkahwinan iaitu dalam tempoh dua ke tiga tahun pertama, isteri banyak bantu. Apatah lagi dia adalah penjawat awam dan mempunyai gaji tetap.

"Sebab itu saya sangat menghargai pengorbanan yang telah dilakukannya dan memang saya buat lagu Tulus ini khas buat isteri tersayang," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Azmi Saat, Caliph Buskers, penyanyi, Tulus

Artikel Berkaitan

Artikel Lain