suria

Nur Fatima bimbang Covid-19 masih tinggi di Malaysia, selalu telefon ibu bapa tanya khabar

Nur Fatima bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

ANGKA jangkitan Covid-19 yang masih tinggi setiap hari membuatkan penyanyi Nur Fatima bimbang dengan keselamatan keluarga yang berada di Malaysia.

Nur Fatima yang kini menetap di Canberra, Australia berkata, dia sentiasa menghubungi orang tuanya bagi bertanya khabar dan mengingatkan mereka mengenai bahaya wabak tersebut.

"Saya sangat risau melihat keadaan di Malaysia. Saya bimbang keadaan ibu bapa apabila melihat kes baharu di Malaysia semakin meningkat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Suami rasa bersalah, seolah-olah rampas minat saya lepas kahwin” - Nur Fatima dapat 'lampu hijau' untuk kembali aktif

"Ibu bapa saya sudah tua, usia hampir 70 tahun. Jika apa-apa jadi, saya tak boleh pulang ke tanah air dengan segera untuk bertemu keluarga... keadaan ini amat menakutkan saya.

“Saya selalu mengingatkan ibu bapa supaya tidak keluar rumah, setiap hari. Saya juga berpesan pada adik-beradik supaya sentiasa melihat keadaan mereka. Namun, saya percaya mereka selamat dan sentiasa dilindungi," katanya.

Nur Fatima sentiasa memantau kes jangkitan Covid-19 di Malaysia.

Sementara itu, Nur Fatima yang kini menetap bersama suami, Mohd Jeffry Wain Wright di Canberra memaklumkan keadaan di sana berjalan seperti biasa kerana tiada kes jangkitan sejak Julai tahun lalu.

"Di sini kehidupan normal seperti biasa, tiada kes sejak tahun lalu. Nak keluar rumah pun tiada masalah, macam tak ada apa-apa berlaku.

Untuk buat persembahan itu masih belum boleh lagi, situasi mereka yang bekerja dalam industri seni masih sama di seluruh negara

NUR FATIMA

PENYANYI

"Tapi untuk buat persembahan itu masih belum boleh lagi, situasi mereka yang bekerja dalam industri seni masih sama di seluruh negara.

"Jadi sekarang ini saya buat aktiviti sebagai suri rumah dan sesekali ada latihan bersama band," ujarnya.

Nur Fatima teruja duet bersama Kayda dalam single Galeri.

Bercakap mengenai single Galeri featuring bersama penyanyi Kayda, Nur Fatima berkata pada awalnya agak sukar untuk dia tampil dengan genre baharu dalam karier nyanyiannya itu.

"Ramai terkejut apabila saya tampil dengan lagu ini... sejujurnya saya memilih muncul dengan single Galeri bagi memberikan kelainan, lebih-lebih lagi, apabila berpeluang duet bersama Kayda.

"Mungkin agak sukar peminat menerima lagu ini kerana kebanyakannya mahu saya menyanyikan lagu bergenre balada. Apabila saya cakap mahu keluarkan single baharu, mereka jangka ia lagu balada.

"Ia adalah keputusan sukar! Bagaimanapun, Warner Music Malaysia dapat meyakinkan saya untuk cuba dengan sesuatu baharu dan segar. Saya harap peminat dapat menerima buah tangan terbaharu dari kami ini," katanya.

Single Galeri yang ditulis dan digubah oleh Omar K, Audi Mok, Altimet, Firdaus Rahmat dan Mas Dewangga itu boleh didengari di semua platform digital sejak hujung bulan lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain