suria

Enggan insiden tahun lalu berulang, produksi AJL35 wajibkan finalis 'sign' surat perjanjian

Persembahan Drama Band dan Aina Abdul tahun lalu dikecam netizen.

ENGGAN insiden yang 'mencemari' penganjuran Anugerah Juara Lagu edisi tahun lalu berulang kembali, pihak produksi Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35) telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan mewajibkan setiap finalis AJL35 menandantanggani satu surat perjanjian.

Menurut Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid, langkah itu terpaksa diambil bagi memastikan kesemua finalis memahami dan mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak produksi.

ARTIKEL BERKAITAN: Gimik keterlaluan, video persembahan Drama Band, Aina Abdul disekat dari Youtube TV3

"Untuk penganjuran kali ini, pihak kami telah mengambil langkah berjaga-jaga yang mana kesemua 12 finalis akan diminta menandatanggani surat perjanjian yang mana memberikan garis panduan untuk persembahan mereka nanti.

"Surat yang dibuat pasukan legal (guaman) TV3 itu bagi memastikan setiap penyanyi yang bertanding tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat mereka untuk persembahan pada malam itu nanti.

"Elemen yang tidak boleh ditunjukkan dalam persembahan mereka antaranya seperti isu politik, keganasan serta pakaian yang digayakan juga tidak boleh terlalu seksi dan menghairahkan," katanya kepada mStar.

Penerbit Eksekutif AJL35, Nurhul Huda Khalid.

Nurhul Huda juga menambah, penyanyi yang bertanding juga perlu menunjukkan persembahan penuh mereka dalam sesi latihan raptai dan tidak boleh melakukan sebarang kejutan yang tidak diketahui oleh pihak produksi.

"Macam tahun lalu, pihak kami memang tidak tahu akan ada elemen kejutan dan gimik seperti yang dibuat oleh sebuah kumpulan. Memang mereka tidak tunjukkan elemen tersebut pada sesi raptai penuh.

Elemen yang tidak boleh ditunjukkan dalam persembahan mereka antaranya seperti isu politik, keganasan serta pakaian yang digayakan juga tidak boleh terlalu seksi dan menghairahkan.

NURHUL HUDA KHALID

PENERBIT EKSEKUTIF AJL35

"Jadi untuk tahun ini, finalis yang bertanding perlu menunjukkan kesemua elemen yang akan dimasukkan dalam persembahan mereka agar tidak akan mencetuskan kontroversi seperti tahun lalu," ujarnya.

Tahun lalu, persembahan Drama Band menerusi lagu Drama mencetuskan kontroversi apabila konsep yang diketengahkan mereka, cynical parody dengan menggunakan pelbagai karakter figura terkenal menerima kecaman hebat netizen.

Selain itu, penampilan Aina Abdul menerusi lagu Sumpah juga menerima kritikan apabila busananya pada malam itu disifatkan seolah-olah memberikan gambaran bunuh diri.

AJL35 yang bakal berlangsung pada 7 Februari ini akan bersiaran langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam, pukul 9 malam. Ia akan disiarkan menerusi TV3.

Anugerah berprestij itu akan dihoskan oleh trio pengacara iaitu Awal Ashaari, Sherry Alhadad dan Haziq Hussni.

Sebanyak 12 lagu akan bertanding iaitu Semalam nyanyian Aina Abdul, 7 Nasihat (Shiha Zikir, Kmy Kmo, Luca Sickta), Belenggu Rindu (Wany Hasrita, Datuk Jamal Abdillah), Peluang Kedua (Nabila Razali), Hati (Hael Husaini), Hutang (Floor 88), Gila (Kaka Azraff, Noki, Loca B), Eh (Zizi Kirana), Kau Sakiti (Amir Masdi), Jangan Khianati Aku (Azlan & The Typewriter), Gundah (Ernie Zakri) dan Aku Bidadari Syurgamu (Aishah).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain