suria

Penulis lirik 'Aku Bidadari Syurgamu' tetap mahu Aishah nyanyi lagu itu jika layak ke AJL35 - “Persembahan dia malam itu tiada yang kurang”

Siti Rosmizah mahu Aishah menyanyikan lagu itu jika layak ke AJL35.

PENULIS novel yang juga penulis lirik Aku Bidadari Syurgamu, Siti Rosmizah Semail mahu penyanyi Aishah terus membawa lagu tersebut sekiranya layak ke Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35).

Siti Rosmizah berkata, penyanyi itu menyampaikan lagu berkenaan dengan baik dan tiada sebab untuk tukar kepada penyanyi lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Ippo Hafiz minta penonton tak salahkan Aishah, fikir perasaan orang lain! - “Dia hanya ganti bukan nak berlawan dengan Tokti”

"Kalau kita tengok persembahan dia tidak ada yang kurang pun, kita sepatutnya beri pujian kerana dia sampai nak pitam tetap menghabiskan lagu tersebut.

"Kalau orang lain mungkin tak mampu nak habiskan lagu tu, tidak ada sebab nak dikecam sampai begitu sekali.



Siti Rosmizah minta netizen berhenti kecam Aishah.

"Secara personal saya nak Aishah terus bawa jika lagu itu layak ke pentas AJL35 sebab di mata saya dia memang layak. Cuma kalau dia sendiri menolaknya, itu kita tidak boleh paksa," ujarnya kepada mStar.

Lagu ciptaan komposer Ippo Hafiz dan Siti Rosmizah itu dinyanyikan Aishah pada malam Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 yang berlangsung pada Sabtu lalu bagi menggantikan penyanyi asal Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Bagaimanapun persembahan Aishah menerima reaksi penonton dan komen negatif netizen yang berpendapat lagu tersebut tidak dibawa dengan baik.

Sementara itu, Siti Rosmizah meminta netizen untuk tidak melemparkan kata-kata kesat yang boleh mengores perasaan penyanyi itu.

"Saya harap netizen berhenti menyalahkan dia atau memberi kata-kata yang menyinggung perasaan Aishah.

"Saya nampak inilah masalah netizen kita, masalah budaya kita yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa, budaya sosial kita terlampau teruk sekarang ni," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain

Putrajaya banjir selepas satu jam hujan