suria

Haqiem Rusli pecah rekod sejarah penganjuran ABPBH, terima lebih 22 juta undian

Haqiem Rusli terima undian tertinggi dalam sejarah ABPBH.

PENYANYI Haqiem Rusli memecah rekod sejarah penganjuran Anugerah Bintang Popular Berita Harian apabila meraih undian sebanyak 22,332,676 sehingga mengangkatnya menjadi Bintang Paling Popular edisi ke-33 pada Jumaat lalu.

Selain undian tertinggi yang diterima pemenang utama, ABPBH33 juga menjadi penanda aras baharu program anugerah tempatan apabila berjaya meraih enam juta tontonan iaitu 43 peratus syer penonton ketika bersiaran menandingi pelbagai program lain yang turut ditayangkan pada waktu sama.

Menurut sumber Nielsen Malaysia, jumlah tontonan itu turut merekodkan peningkatan sebanyak 200,000 tontonan berbanding ABPBH tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: ABPBH33 penuh kejutan! Haqiem Rusli paling popular... Mawar Rashid dan Zahiril Adzim menang pelakon filem popular

Sungguhpun berhadapan dengan kekangan fizikal dan siber kerana penganjurannya ketika musim pandemik Covid-19, ABPBH33 berjaya dianjurkan dengan kerjasama rapat agensi kerajaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi memastikan pengawalan ketat Prosedur Operasi Standard (SOP).



Haqiem dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular.

Selain pencapainnya daripada segi rating televisyen, ABPBH33 turut meraih peningkatan jumlah tontonan strim langsung di YouTube TV3 Malaysia dan menjana 700,000 tontonan, iaitu 104,000 lebih tinggi berbanding ABPBH32.

Lebih membanggakan jumlah undian Bintang Paling Popular yang dimenangi oleh Haqiem Rusly merupakan jumlah undian tertinggi dalam sejarah ABPBH sejak dianjurkan pada tahun 1987.

Pada Jumaat lalu, penyanyi lagu Adlina Marie itu diumumkan sebagai pemenang Bintang Paling Popular ABPBH33 yang berlangsung di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Kemenangan Haqiem itu melayakkan dia membawa pulang hadiah berupa sebuah kereta jenama Nissan Leaf dan trofi.

Selain itu, penyanyi berusia 22 tahun ini turut memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Lagu Paling Boom Popular menerusi Lembah Kesepian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain