suria

Tak sampai seminit tanggal pelitup muka depan kedai, Mustaqim Bahadon kena kompaun langgar SOP - “Memang salah saya... melayang RM1,000”

Mustaqim Bahadon mengakui kesilapan diri tanggal pelitup muka di tempat awam.

GARA-GARA menanggalkan pelitup muka di tempat awam, pelakon Mustaqim Bahadon dikompaun oleh pihak berkuasa atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pada Ahad.

Menurut Mustaqim, 35, semasa kejadian dia bersendirian di kawasan parkir motosikal berhadapan kedai gunting rambut miliknya yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

"Petang itu saya minta pekerja guntingkan rambut, sementara nak tunggu tukang gunting sediakan peralatan, saya keluar sekejap untuk menghisap rokok elektronik di kawasan parkir motor, betul-betul hadapan kedai saya.

ARTIKEL BERKAITAN: Selalu kena 'reject' stesen TV, Mustaqim Bahadon tak ambil hati - “Betul ke followers ramai boleh buat drama meletup?”

"Tak sampai seminit, saya disapa oleh pihak berkuasa dan mereka nyatakan saya langgar SOP kerana tak pakai mask, terus mereka beri kompaun... dah kena denda RM1,000.

"Semasa itu saya seorang diri, tiada sesiapa bersama saya... ingatkan boleh tanggal sekejap tapi rupa-rupanya itu satu kesalahan," katanya kepada mStar.



Mustaqim keluar di hadapan kedai sementara menunggu giliran menggunting rambut.

Meskipun didenda kerana melanggar SOP, Mustaqim berkata dia menerima dengan hati terbuka dan mengakui kesalahan diri kerana tidak peka dengan peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Saya minta maaf, saya mengaku salah sebab tanggalkan mask walaupun sekejap. Saya ambil mudah fikir benda itu tak ada apa, kita fikir dah jaga SOP dan tak kacau orang tapi rupa-rupanya satu kesalahan.

Saya dah terkena jadi orang lain pun kena ambil mesej ini supaya tak jadi macam saya!

MUSTAQIM BAHADON

PELAKON

"Saya terima dengan hati terbuka sebab memang salah saya tanggal mask walaupun tempat tiada orang. Saya tak salahkan pihak berkuasa sebab memang salah saya sendiri.

"Selama ini saya memang ikut SOP, mask tak pernah tinggal cuma semasa kejadian nasib tak baik, tanggal sekejap sebab nak hisap vape... tapi apa saya buat itu salah di kawasan awam!" ujarnya.



Mustaqim mengakui kesilapan diri.

Pelakon drama Cinta Sekali Lagi ini turut menasihati orang ramai supaya tidak mengabaikan SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Saya nak ingatkan semua orang supaya pakai mask, jangan sesekali tanggalkan kalau berada di luar rumah.

"Saya dah terkena jadi orang lain pun kena ambil mesej ini supaya tak jadi macam saya... jangan fikir bila kita seorang diri, kita dah betul dan tak perlu ikut SOP.

"Takut nanti melayang RM1,000, banyak juga tu... dalam keadaan sekarang ni macam-macam kita boleh buat dengan duit tu. Ambillah ia sebagai pengajaran," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain