suria

Tak tidur malam undi Haqiem Rusli, kelab peminat Qiemilio dah jangka capai angka 22 juta - “Kami ada lebih kurang 2,500 ahli berdaftar”

Kelab peminat mengundi tanpa mengira waktu bagi memastikan kemenangan Haqiem Rusli.

USAHA kelab peminat Haqiem Rusli iaitu Qiemilio mengundi artis kesayangan mereka membuahkan hasil apabila penyanyi itu diumumkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-33 (ABPBH33), Jumaat lalu.

Menurut salah seorang pengendali Qiemilio yang dikenali sebagai Keena, ahli kelab memberikan komitmen penuh dan bekerja keras mengundi Haqiem tanpa mengira waktu bagi memastikan kemenangan penyanyi kesayangan mereka itu.

"Bagaimana kami dapat angka itu adalah kerana kerjasama berpasukan dalam mengundi Haqiem... kami ada lebih kurang 2,500 ahli berdaftar dan masing-masing main peranan mengundi sejak sebulan lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: “Kami bersengkang mata undi setiap jam” - Haqiem Rusli terima undian tertinggi, menang Fans Club Paling Ngam di EDMA2019

"Mereka ini semua sukarela mengundi tanpa paksaan dan ikhlas nak pastikan kemenangan Haqiem. Kami sering berinteraksi bersama di dalam aplikasi sembang dan bergerak secara agresif bagi nak capai target undian.

"Ada yang tak tidur malam mengundi kerana waktu pagi ada komitmen lain, jadi malam waktu sesuai untuk mereka mengundi. Dalam masa sama kita percaya juga ada peminat yang tak berdaftar tapi mereka ini turut menyumbang jumlah undian," katanya kepada mStar.

Haqiem Rusli raih undian tertinggi dalam sejarah penganjuran ABPBH.

Dalam pada itu, Keena menafikan dakwaan segelintir pihak kononnya Haqiem membeli undi sehingga mempertikaikan mengenai jumlah undian sebanyak 22,332,676 yang diterima oleh penyanyi lagu Adlina Marie ini.

Kata Keena, angka itu tidak mustahil dicapai kerana mereka ada membuat kira-kira sepanjang tempoh kempen itu.

Kalau sesetengah peminat akan mempertahankan artis mereka tapi Haqiem pula mahu kami lebih relaks dan tidak mudah melatah!

KEENA

WAKIL KELAB PEMINAT QIEMILIO

"Kami memang ada buat tracking jumlah undian, dah jangka anggaran undi itu, cuma undian pesaing sahaja yang akan menentukan kemenangan.

"Dalam mana-mana pertandingan pun pasti akan ada orang pertikaikan kalau Haqiem menang, itu perkara biasa... yang penting kita tahu apa kita lakukan, mereka tak nampak kita kerja keras bagi memastikan kemenangan," ujarnya.



Qiemilio jadi tulang belakang karier seni Haqiem Rusli.

Sementara itu, Keena berkata ahli kelab memilih untuk mengabaikan sebarang bentuk kecaman dan provokasi yang dilemparkan netizen kepada artis mereka.

"Kami semua ambil positif sahaja asalkan kita tahu apa kita buat ini! Masing-masing ada pendapat sendiri, jadi terpulanglah jika ada yang nak beri komen atau pandangan mereka.

"Kalau sesetengah peminat akan mempertahankan artis mereka tapi Haqiem pula mahu kami lebih relaks dan tidak mudah melatah," ujarnya.

ABPBH33 kali ini menyaksikan Haqiem Rusli membawa pulang hadiah utama Bintang Paling Popular dan dua lagi kategori iaitu Penyanyi Lelaki Popular serta Lagu Paling Boom Popular iaitu Lembah Kesepian.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain