suria

Ika Nabella kini berhijab, mahu jadi isteri dan ibu yang sempurna

Ika lebih selesa tidak terlalu terbuka berkongsi mengenai penghijrahannya.



TERBUKA hati untuk berhijab, pelakon Ika Nabella mengakui dia kini melalui fasa percubaan untuk berpenampilan muslimah.

Pemilik nama sebenar, Ika Nabila Abdul Rahim, 31, berkata, dia berkongsi perkara itu secara perlahan-lahan kerana bimbang penghijrahannya itu akan terjejas.

ARTIKEL BERKAITAN: Ika Nabella uji keberanian suami terjun laut, kongsi minat 'travel' kukuh ikatan perkahwinan - “Kami tiada supercar, rumah banglo tapi...”

Dia juga berharap, tindakan itu akan membawanya ke jalan yang lebih baik dan menjadi isteri dan ibu yang sempurna.

Masa saya bujang dulu saya nak sangat kahwin dan Allah hadirkan suami buat saya.

IKA NABELLA

PELAKON

"Sejujurnya saya memang dah niat nak berhijab lama tetapi hati saya berbolak-balik dan saya dah banyak kali cuba-cuba pakai tudung cuma saya rasa masa tu banyak fikir duniawi dan karier saya.

"Bila sekarang di usia 31 tahun saya dah dapat apa yang saya nak walaupun kehidupan sangat-sangat sederhana, bagi saya Allah dah bagi semua yang saya minta.

"Masa bujang dulu saya nak sangat kahwin dan Allah hadirkan suami dan selepas kahwin dalam masa tiga tahun saya doa sangat nak anak.

"Allah kurniakan saya zuriat masa tu saya terdetik apa saya nak semua dapat tetapi saya tak sempurna menutup aurat dan sebagainya," katanya kepada mStar.



Ika akui anak antara pendorong utama untuk dirinya berubah.

Tambah Ika lagi, anak menjadi pendorong dia berhijab dan juga memulakan perniagaan baru.

"Anak banyak mengajar saya dan memberi dorongan kerana saya nak memori dia dipenuhi dengan benda baik-baik dan lihat saya sebagai role model," ujarnya.

Dia juga terharu dengan penerimaan suami, keluarga dan peminat yang sangat positif dengan perubahan itu.

Ika dan suami mendirikan rumah tangga pada 30 Julai 2016 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia setahun.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain