Adegan Uqasha Senrose tak buka seluar ketika bersalin dikritik tak logik, ini penjelasan Micheal Ang - “Sudah tentu saya nak jaga aurat”

Foto Uqasha pakai seluar ketika babak bersalin dikitik netizen.

FOTO salah satu babak dalam drama Perempuan Tanpa Dosa yang memperlihatkan lakonan Uqasha Senrose memakai seluar ketika melahirkan anak mendapat perhatian di laman sosial.

Rata-rata netizen mengkritik foto berkenaan dan menganggap adegan itu sebagai tidak logik.

ARTIKEL BERKAITAN: Sunting sampai lilin bengkok, foto ‘sweet’ Uqasha Senrose, Kamal Adli sambut hari lahir jadi perhatian!

Bagaimanapun, pengarah drama tersebut, Michael Ang menjelaskan foto yang tular itu bukan babak sebenar dalam drama berkenaan sebaliknya ia hanya gambar yang diambil sekitar penggambaran.



Foto yang menjadi tular di laman sosial.

Tambah Michael, dia juga mahu menjaga aurat dan tidak sewenang-wenangnya meminta Uqasha atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen membuka seluar di hadapan pelakon lain dan kru produksi.

"Gambar yang tular itu bukanlah dalam footage pun dan ia gambar di luar kamera. Sekadar gambar sekitar penggambaran.

"Sudah tentu bila shooting saya nak jaga aurat. Takkan saya nak suruh Uqasha buka seluar di hadapan semua orang dan sebab itu la ada letakkan kain.

Saya terima saja kecaman sebab netizen memang suka membuat andaian.

MICHAEL ANG

PENGARAH

"Nanti ada babak Usu (lakonan Uyaina Arshad) buka seluar dan bila tengok babak itu, penonton akan faham apa yang ingin disampaikan," kata Michael kepada mStar.

Michael Ang diminta mengulas mengenai foto tular sebuah babak dalam drama arahannya iaitu Perempuan Tanpa Dosa yang sedang ditayangkan di slot Megadrama, Astro Ria.

Drama gandingan Uqasha dan Kamal Adli itu bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat bermula 6 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Michael menganggap foto yang tular itu sekadar jenaka dan mengambil segala kecaman netizen secara positif.



Lakonan mantap Uqasha dan Uyaina dalam drama Perempuan Tanpa Dosa.

"Saya tak kisah dengan kecaman atau kritikan netizen. Saya anggap ia sekadar lawak dan sebenarnya kelakar juga bila dapat tahu ada orang muat naik foto itu dan menjadi tular.

"Tapi saya terima saja kecaman sebab netizen memang suka membuat andaian. Mereka lihat gambar itu dah terus buat andaian sendiri tanpa tahu apa-apa," ujarnya.

Drama bersiri itu turut dibintangi oleh Uyaina Arshad, Yusuf Bahrin, Zac Zaky, Hilal Azman, Shaza Bae, Susan Menan, Datin Fadhillah Mansor dan Azza Elite.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain