suria

Mira Filzah nikah malam ini, kisah cinta bermula daripada Instagram ke WhatsApp - “Saya beritahu ibu mahu berkahwin dengan Emir”

Mira sepatutnya bernikah dengan Emir pada Oktober depan namun terpaksa mempercepatkan tarikh disebabkan kakaknya.

PELAKON Mira Filzah mengesahkan dia bakal disatukan dengan tunangnya iaitu Wan Emir Wan Astar di sebuah Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada malam, Khamis.

Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 27, berkata mereka sepatutnya bernikah pada Oktober depan namun ia terpaksa dipercepatkan berikutan kakak sulungnya yang menetap di New York, Amerika Syarikat (AS), pulang ke sini untuk majlis resepsi adik bongsu mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Siapa bakal suami Mira Filzah? Kenali Wan Emir Astar, jejaka hitam manis berkumis nipis

"Saya dan Emir sepatutnya disatukan pada Oktober depan tetapi disebabkan kakak tidak boleh berulang alik dengan kerap kerana terpaksa menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari, jadi saya terpaksa mempercepatkan tarikh pernikahan.

Mira dan Emir pertama kali hadir bersama di majlis perkahwinan pelakon Farah Nabilah.

"Kakak hanya dapat bersama sehingga esok, selepas itu dia perlu pulang ke AS kerana anak saudara akan memulakan sesi persekolahan yang baharu," katanya menerusi laporan BH.

Majlis pernikahan Mira dan Emir akan disiarkan secara langsung melalui program MBuzz TV3 pada 9 malam selama 10 minit dan turut boleh disaksikan di akaun YouTube TV3, mulai 8.30 malam.

Pada Jumaat lalu, Mira mengadakan majlis khatam al-Quran bersama adiknya iaitu Aina Fadhilah di kediaman keluarganya di Bangi.

Sebelum ini, Emir atau nama sebenarnya Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar, 30, menghantar rombongan keluarga untuk merisik pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu sebagai suri hidupnya pada Disember tahun lalu.

Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.

MIRA FILZAH

PELAKON

Dalam pada itu, Mira memberitahu Emir memulakan langkah untuk berkenalan dengannya dengan menghantar mesej langsung (DM) menerusi Instagram berunsur kerohanian pada Ramadan tahun lalu.

Meskipun Mira tidak membalas mesej tersebut namun anak kepada Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang juga merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid itu tidak berputus asa.

"Selepas gagal berhubung dengan saya, Emir tidak berputus asa dan menghantar DM kepada ibu saya pula. Saya tidak tahu apa yang Emir katakan pada ibu tapi ibu beritahu, dia kenal Allahyarham bapa Emir dan menceritakan mengenai latabelakang keluarganya kepada saya.

Mira terbuka hati untuk berkenalan dengan Emir setelah mendapatkan nasihat ibunya.

"Saya mahu lepaskan adik bongsu terlebih dulu dan fokus kepada kerja sahaja. Saya juga malas hendak memulakan perhubungan selepas melalui beberapa kegagalan sebelum ini.

"Bagaimanapun, ibu meminta saya cuba mengenali Emir dan berjumpa dengannya. Punca saya terbuka hati semuanya disebabkan ibu bapa. Jadi, saya membalas DM daripada Emir dan hubungan itu berlanjutan ke aplikasi WhatsApp," ujarnya.

Sementara itu, Mira mendedahkan dia sendiri yang meluahkan hasrat untuk mendirikan rumah tangga kepada ibunya biarpun ketika itu Emir belum melamarnya.

Mira dan keluarganya ketika majlis khatam Al-Quran pada Jumaat lalu.

"Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu ibu mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya. Saya tidak tahu kenapa tetapi mungkin disebabkan gerak hati yang merasakan keputusan itu adalah tepat.

"Jadi, saya terus beritahu ibu hasrat hati untuk berkahwin. Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.

"Tetapi dia bimbang jika saya anggap terburu-buru. Semua ini tidak akan terjadi tanpa restu kedua-dua ibu saya dan dia yang memudahkan lagi niat kami berdua," kata Mira.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain