suria

Indah khabar dari rupa! Aliff Syukri jawab keluhan atlet parkour, dedah rakaman CCTV pelanggan tak jaga adab - “Staf kami tegur tapi dibalas kata-kata kesat!”

Aliff mendedahkan rakaman CCTV di lobi resort miliknya selepas menerima aduan seorang pelanggan yang kurang berpuas hati.

USAHAWAN kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri tampil memberi penjelasan selepas tular keluhan dan kritikan seorang pelanggan mengenai resort yang diusahakan olehnya di laman sosial baru-baru ini.

Menerusi Instagram, Aliff menjawab setiap permasalahan yang dibangkitkan oleh pemuda dikenali Abudi Alsagoff serta memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memaparkan sikap sekumpulan pengunjung ketika menginap di Sugeh Hill Resort yang terletak di Janda Baik, Pahang itu.

Dalam kenyataan balas itu, Aliff turut mendakwa keluarga pemuda tersebut tidak menjaga adab dan etika ketika mereka menginap di lokasi berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Baru saja mohon maaf isu topeng bocor, Aliff Syukri dikecam tak berani cuba produk sendiri! - “Henti cari kesalahan... saya hanya insan yang lemah”

"Jaga adab dan etika ditempat orang... untuk maklumat pihak tuan, semasa kejadian saya tiada di sana, jika tuan maklum memang kebiasaannya saya berada untuk memantau keadaan bagi memastikan pelanggan berada dalam keadaan baik.

"Isu takut anak terjatuh bermain di lobi... saya rasa tuan juga maklum lobi bukan ruangan bermain dan ia adalah ruangan menunggu tetapi keluarga tuan telah pun bermain bola dan makan beramai-ramai di lobi... baring di atas sofa dan mengalihkan perabot dari tempat asal.



Aliff jawab tuduhan Abudi menerusi Instagram.

"Staf kami warga Indonesia ada menegur tapi dibalas kata-kata kesat oleh pihak keluarga tuan seperti berikut... orang Indonesia tak layak tegur orang Malaysia dan nanti saya bunuh kamu dan campak ke laut!," katanya.

Pada Ahad, tular perkongsian pengalaman atlet sukan parkour, Abudi Alsagoff bersama dengan keluarganya menetap di sebuah resort milik Aliff Syukri yang dikatakan kurang memuaskan.

Resort kami bukan hotel lima bintang sebab tu harga bilik di sini rendah!

ALIFF SYUKRI

USAHAWAN

Dalam perkongsian itu, Abudi menyatakan 14 punca yang menjadi masalah pada resort Sugeh Hill Resort dan menyatakan kekesalan apabila pengalaman percutiannya itu diibaratkan indah khabar dari rupa.

Antara yang disuarakan adalah isu sampah di kawasan resort, bilik yang kotor dan cadar tidak bertukar serta soal keselamatan pengunjung di lobi.

Selain itu, banyak fasiliti yang tidak lengkap serta tidak diselenggara dengan baik dan lebih memualkan apabila mereka menemui bangkai lipas di dalam peti ais.



Tandas rosak dan cadar kotor seperti tidak diganti antara isu disuarakan seorang pelanggan.

Perkongsian itu diketahui oleh Aliff Syukri yang kemudian menghubungi Abudi dan meminta dia memadamkan status Facebook tersebut atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Namun, Abudi enggan memadamkan statusnya dan mempersoalkan tindakan Aliff yang dianggap seperti cuba melakukan ugutan terhadap dirinya.

Sementara itu, penyanyi lagi Cuba Bahagia ini berkata sebagai pemilik resort, dia terbuka menerima sebarang cadangan dan aduan daripada pelanggan.



Pelanggan dikenali sebagai Abudi senaraikan 15 kelemahan resort milik Aliff Syukri.

"Kami ada peti cadangan untuk komen pelanggan kami serta sedar kekurangan kami dan akan mengambil mana-mana nasihat yang kami rasakan baik untuk kami perbaiki resort kami.

"Terima kasih kepada pihak keluarga tuan yang menularkan resort kami yang tak pasti kesahihanya.. apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kerana menginap di resort saya iaitu Eco Resort bukan hotel lima bintang sebab tu harga bilik di sini serendah RM175.

"Mereka bercuti selama tiga hari di sini dengan jayanya.... terlebih dahulu saya ingin memohon maaf jika banyak kekurangan dari pihak kami kepada tuan," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain