suria

Amerul Affendi makin popular, mula bimbang followers IG naik mendadak - “Benarkah jika lantang bersuara job akan kurang?”

Pengikut Instagram Amerul Affendi cecah 271,000 daripada 101,000 dalam masa tiga hari.

SELEPAS kira-kira seminggu menyuarakan kebimbangan mengenai nasibnya dalam bidang lakonan kerana tidak mempunyai pengikut media sosial yang ramai, pelakon Amerul Affendi kini nampaknya makin popular.

Buktinya apabila dia meraih hampir 200,000 pengikut baharu dalam tempoh berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Amerul Affendi kena ‘reject’ stesen TV sebab Instagram ‘sendu’ - “Nak beli followers rasa macam menipu, apa patut saya buat?”

Susulan itu Amerul, 34, yang sebelum ini hanya mempunyai kira-kira 101,000 pengikut Instagram berkata dia menghargai sokongan orang ramai yang mengambil berat tentang masa depan anak seni dalam industri hiburan.

"Ratusan ribu terima kasih buat saudara saudari budiman yang prihatin akan permasalahan yang berlaku kepada saya baru-baru ni sehingga kalian menunjukkan sokongan sangat luar biasa.

Kenapa hal-hal begini tidak diperkatakan oleh senior yang lebih awal makan garam?

AMERUL AFFENDI

PELAKON

"Semoga urusan kalian juga dipermudahkan olehNya dan sentiasa dalam pandangan Allah dan Rasulullah SAW," tulisnya di laman Twitter.

Semakan di Instagram Amerul menunjukkan dia kini mempunyai lebih 271,000 pengikut.

Sementara itu walaupun gembira dengan sokongan orang ramai, Amerul akui sedikit bimbang jika kelantangannya dalam isu ini bakal mengundang rasa kurang senang pihak stesen televisyen.

"Tidaklah saya ke depan menyuarakan hal ini semata-mata kerana saya sahaja, tapi ianya juga kerana generasi akan datang yang akan mewarisi bidang ini agar tidak diperlakukan sebegini.



Amerul sebelum ini hanya mempunyai 101,000 pengikut Instagram.

"Sampai bila hal-hal penindasan ini dibiarkan dan diwariskan kepada mereka yang akan masuk ke bidang ini?

"Kenapa hal-hal begini tidak diperkatakan oleh senior yang lebih awal makan garam? Apakah benar nanti jika lantang bersuara, job akan kurang?" ujarnya.

Sebelum ini, Amerul menerusi laman Twitter berkongsi kekesalannya apabila menyedari pihak stesen televisyen tidak mahu mengambilnya berlakon selagi pengikut media sosial tidak mencecah 500,000.

Amerul meminta pandangan netizen mengenai apa yang perlu dilakukan memandangkan dia enggan menggunakan jalan pintas dengan membeli pengikut.

Untuk rekod, Amerul pernah menerima trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2019 di Kuching, Sarawak menerusi filem Crossroads: One Two Jaga.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain