suria

Siti Nurhaliza lega ManifestaSITI2020 lancar selepas tiga bulan tertangguh - “Hikmahnya saya dapat rakam sampai puas hati”

Siti Nurhaliza lega akhirnya album MenifestaSITI2020 dilancarkan selepas tiga bulan tertangguh.

SELEPAS beberapa bulan tertunda akibat pandemik Covid-19, penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya melancarkan album ke-18 berjudul ManifestaSITI2020 pada Jumaat.

Tidak berasa terkilan kerana kelewatan itu, Siti, 41, menganggap perkara yang berlaku mempunyai hikmah tersendiri dan menjadi kenangan untuk dia mengabadikan sesuatu istimewa sempena tahun yang mempunyai sejarah tersendiri kepada dunia.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jika mulakan prosedur IVF saya kena rehat panjang” - Siti Nurhaliza rancang anak kedua

"Banyak kerja-kerja terpaksa tertangguh yang tidak dapat dielakkan, ia bukan masalah saya sahaja tapi seluruh dunia. Saya tidak terkilan atau berasa kecewa kerana pada ketika ini kesihatan lebih penting.

"Saya percaya ada hikmah tertentu dan dalam tempoh itu saya dapat dengar balik lagu-lagu dan rakam semula suara sehingga rasa puas hati," ujarnya kepada mStar.



Siti ditemui di sidang media pelancaran album ManfiestaSITI2020 di Bangsar pada Jumaat.

Siti ditemui pada majlis pelancaran album ManifestaSITI2020 yang diadakan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Album itu memuatkan 11 lagu termasuk lima lagu baharu antaranya Kuasa Cintamu, Takhta Dunia, Aku Bidadari Syurgamu, dan Tertulis Nama Kita.

Turut dimuatkan lima lagu yang sudah dilancar awal dan sebuah lagu versi baharu berjudul Teratai Menjelma nyanyian asal Datuk Sudirman Arshad.

Dalam pada itu, bercerita lanjut tentang album berkenaan, Siti berkata, lagu Kuasa Cintamu ciptaan Melly Goeslow itu memiliki sentuhan peribadi untuk anak perempuannya, Siti Aafiyah.



Siti melancarakan album ke-18 iaitu ManifestaSITI2020 selepas beberapa bulan tertunda.

"Dari segi sentuhan peribadi, saya merasa lebih dekat kepada Kuasa Cintamu kerana saya sendiri yang menulis lirik lagu tersebut.

"Lagu ini saya buat khas untuk anak saya, Siti Aafiyah. Ia tentang penantian saya untuk mendapatkan Aafiyah dan apabila doa saya dimakbulkan," ujarnya.

Sementara itu, sebanyak 1500 buah album habis dijual sejak tempahan awal yang dibuka pada 29 Jun lalu, malah pihak penerbit iaitu Universal Music Malaysia dan Siti Nurhaliza Productions Sdn Bhd terpaksa menambah stok cakera padat bagi memenuhi permintaan peminat.

Antara komposer yang terbabit dalam album kali ini ialah Aubrey Suwito, Omar K, Hael Husaini, Ezra Kong, Pown Hasril, Melly Goeslow, Hafiz Hamidun, Ippo Hafiz, John Jeevasingham, Ryan Kyoto, Kmy Kmo dan Luca Sickta.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain