suria

Berhabis duit hasilkan filem, penerbit berang ‘Ada Apa Dengan Dosa’ disebar secara haram - “Saya tidak halalkan...!”

Ayu bersama anaknya, Wanna Ali yang turut berlakon disamping PU Riz dan Ashraf Muslim.

BARU 10 hari ditayangkan, filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD) menjadi mangsa pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkannya di beberapa platform laman sosial serta aplikasi secara haram.

Penerbit dan pemilik syarikat Pencil Pictures & Records iaitu Datuk Ayu Puteh mengakui dia berasa berang dengan sikap golongan yang memilih untuk menonton filem tersebut secara percuma di platform tidak sepatutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanna Ali jumpa 'chemistry' dengan PU Riz dalam 'Ada Apa Dengan Dosa' - “Dia berilmu, ada latar belakang agama!”

Malah, Ayu, 42, menganggap golongan tersebut kurang cerdik kerana sanggup menonton menggunakan telefon bimbit sedangkan boleh menikmati filem tersebut seperti di pawagam menerusi Astro First.



Ayu memuat naik status luahan kemarahannya di Instastory.

"Ada sekumpulan mak cik berborak mengenai filem saya dan kebetulan waktu itu saya dengan ibu saya jadi terdengar la perbualan mereka. Salah seorang mereka puji la filem saya best dan sudah tonton beberapa kali di Astro First.

"Tapi ada pula seorang hamba Allah ini dengan bangga ajak rakannya itu untuk tonton secara percuma tanpa perlu membuang duit beli di Astro First. Memang panas la hati saya bila mendengar dia cakap macam itu.

"Memang sebelum ini ada rakan dah beritahu mengenai isu tersebut dan sudah laporkan kepada pihak sepatutnya. Saya memang geram dan marah dengan golongan yang tonton secara percuma di laman sosial dan aplikasi komunikasi.

"Bagi saya, orang yang pilih untuk tonton menerusi telefon bimbit di platform tak sepatutnya itu memang bodoh sedangkan kita sediakan platform untuk menonton filem tersebut seperti di pawagam," katanya kepada mStar.

Saya tak halalkan siapa yang menyebarkan dan menonton filem saya tidak berbayar!

AYU PUTEH

PENERBIT

Ibu kepada pelakon Wanna Ali diminta mengulas mengenai status luahan kemarahannya terhadap orang yang menonton filemnya secara percuma yang dimuat naik di Instastory di laman sosial.

Filem berkonsepkan kekeluargaan dan islamik itu mula ditayangkan secara ekslusif menerusi saluran Astro First bermula 4 Jun lalu dan sehingga kini mendapat sambutan yang hangat.

Selain Wanna Ali, filem arahan pengarah Rahila Ali itu turut dibintangi barisan pelakon popular iaitu Fasha Sandha, Ashraf Muslim, Adam Corrie, Fauziah Nawi dan Hariz Ismail atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz.

Dalam pada itu, pemilik nama Normashayu Puteh ini berharap penonton menghargai dan menyokong setiap karya tempatan dengan menonton di platform sepatutnya.



Ayu bersama pengarah filem AADD iaitu Rahila Ali.

"Saya tak halalkan siapa yang menyebarkan dan menonton filem saya tidak berbayar! Saya dah berhabis duit untuk menghasilkan filem ini. Jadi, sokong dan hargailah filem tempatan dengan menontonnya di platform yang sudah ditetapkan.

"Hanya dengan RM15 sahaja, anda boleh kongsi dan tonton bersama keluarga atau rakan. Filem ini sepatutnya ditayangkan di pawagam september depan tapi kerana keadaan PKP, saya memilih untuk ke Astro Pawagam di rumah Anda.

"Saya tidak memikirkan soal keuntungan sahaja tapi sekurang-kurangnya penonton dapat mesej positif. Filem seperti ini tidak harus di lengahkan dan dapatlah saya beribadah juga di keadaan negara kita macam ini," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain