suria

Raikan Aidillfitri norma baharu, Usop terpaksa lupakan aktiviti konvoi ramai-ramai - “Sedih kerana inilah masa rapatkan hubungan dengan kawan-kawan”

Usop tak dapat berkonvoi bersama rakan-rakan meraikan Aidilfitri tahun ini.

JALANI kehidupan dengan norma baharu akibat wabak Covid-19, penyanyi Usop mengakui sambutan Aidilfitri tahun ini berbeza dan tidak semeriah tahun-tahun sebelum ini.

Menurut Usop nama sebenar Muhammad Saiful Naim Muhd Noor, 23, dia dan rakan-rakan tidak dapat meneruskan rutin wajib berkonvoi beramai-ramai mengunjungi antara satu sama lain seperti kebiasaan.

"Setiap tahun saya bersama rakan hampir 20 buah motosikal berkunjung dan menziarahi setiap rumah teman-teman, tapi tahun ni tak boleh buat aktiviti itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Usop bantu keluarga berniaga makanan sepanjang Ramadan - “Ada pelanggan happy dapat jumpa saya semasa COD”

"Sedih sangat, sepatutnya raya kedua kami akan berkonvoi ramai-ramai. Saya memang akan join konvoi itu kerana inilah masa untuk rapatkan kembali hubungan dengan kawan-kawan di kampung.

"Memandangkan saya bekerja di Kuala Lumpur jadi apabila tiba hari raya, peluang berkonvoi inilah yang paling saya nantikan... mungkin tahun depan kita boleh teruskan amalan ini," katanya kepada mStar.



Usop tak dapat sertai acara tradisi konvoi beramai-ramai kerana PKP.

Sebelum ini, Usop meluahkan rasa syukur kerana berada di kampung halaman di Kulim, Kedah beberapa hari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan kerajaan pada 18 Mac lalu.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Usop berkata dia dan keluarga meraikan hari kebesaran umat Islam itu dalam suasana serba sederhana.

Malah, dia turut memberitahu tiada perancangan untuk menganjurkan rumah terbuka berikutan situasi yang tidak mengizinkan.



Usop sambut raya secara sederhana bersama keluarga.

"Alhamdulillah, hari ini hari raya ketiga semuanya berjalan lancar... serba sederhana dan seronok dapat luangkan masa bersama keluarga.

"Pakai baju tahun lepas sahaja sebab ada lagi yang masih belum pernah pakai, apa yang boleh saya kata tahun ni raya hanya ala kadar saja. Nak pergi menziarah rumah orang pun tak boleh!

"Apa-apa pun saya bersyukur sangat sebab berada di Kedah dan dapat beraya bersama keluarga, kalaulah saya masih berada di Kuala Lumpur, memang menangislah saya," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Usop

Artikel Lain