Syamel sedih hasrat bawa nenek tunai umrah tak kesampaian - “Syukur... dapat teman wan sebelum arwah meninggal dunia”

Syamel puas dapat menemani nenek seharian di wad hospital sebelum arwah meninggal dunia.

PENYANYI Syamel reda dengan pemergian nenek tersayang, Remah Rahim, 76, pada petang Sabtu.

Syamel, 27, bagaimanapun berkata hatinya tenang kerana dapat menemani nenek di saat-saat akhir sebelum wanita itu meninggal dunia.

"Sebenarnya sudah seminggu wan (nenek) dimasukkan ke Pusat Perubatan Hospital Malaya (PPUM)... tapi semalam seharian saya menemaninya di wad sehinggalah dia menghembuskan nafas terakhir.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tiada istilah menumpang” - Syamel

"Rasa syukur apabila dapat bersamanya sepanjang hari, maklumlah sebelum ini kami tak boleh berjumpa kerana Perintah Kawalan Pergerakan dan keadaan kesihatan saya pula tak mengizinkan.

"Alhamdulillah nenek pergi dalam keadaan tenang dan terima kasih kepada semua yang mendoakan Allahyarham," katanya kepada mStar.



Syamel dapat teman nenek di hospital sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sementara itu, Syamel berkata hasratnya untuk membawa nenek menunaikan umrah pada Februari lalu tidak kesampaian kerana keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

"Sepatutnya kami pergi umrah bersama tempoh hari, ikutkan rancangan memang nak bawa nenek sekali tapi tak kesampaian kerana nenek kurang sihat.



Nenek tidak dapat mengikuti rombongan umrah baru-baru ini kerana masalah kesihatan.

"Tak ada rezeki kami nak buat umrah sama-sama, tak apalah mungkin ada hikmah atas apa berlaku ini.

"Nenek merupakan ibu kepada ayah saya dan hubungan kami memang rapat, dialah yang menjaga saya dan semestinya pemergian ini amat dirasai," ujarnya.

Allahyarham Remah meninggal dunia kerana sakit tua dan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, Cheras pada pagi Ahad.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Syamel

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Memulakan langkah pemulihan ekonomi