suria

Lisa (Blackpink) terima ancaman bunuh, kedutaan Thailand bantu siasatan

Lisa Blackpink terima ancaman bunuh menerusi emel dan mesej.

AHLI kumpulan Blackpink iaitu Lisa menerima ugutan bunuh sehingga memaksa pihak Kedutaan Thailand di Seoul, Korea Selatan menghubungi agensi pengurusan kumpulan berkenaan.

Menurut laporan Bangkok Post, kedutaan negara itu memberitahu mereka menerima banyak emel dan mesej mengenai ugutan yang dihantar kepada Lisa.

"Beberapa hari lalu, kami menerima banyak mesej berbentuk ancaman dibuat secara online yang boleh membahayakan nyawa Lisa," tulis pihak Kedutaan Thailand menerusi laman Twitter pada Jumaat.

Sementara itu, agensi pengurusan YG Entertainment pula berkata pihaknya akan memantau situasi semasa bagi memastikan keselamatan semua artis di bawah naungan mereka.

"Kita akan lakukan yang terbaik bagi melindungi keselamatan artis dan peminat... kami sedar mengenai situasi ini dan akan terus memantau secara berterusan.

"Kita juga sedang mengumpul informasi yang diberikan oleh peminat dan akan mengambil tindakan tegas terhadap isu ancaman ini," kata pengurusan.

Pihak Kedutaan Thailand menyatakan sokongan dan menawarkan bantuan menyiasat mengenai ugutan ini berikutan Lisa merupakan warga Thailand yang sedang bekerja di Korea Selatan.

Lisa Blackpink

Artikel Lain