suria

Serlahkan kreativiti duduk rumah, 17 artis lancar lagu 'Jangan Keluar'

Bella dan Sophia bergabung dalam lagu Jangan Keluar.

SEJAK pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu, rakyat Malaysia disarankan untuk duduk di rumah bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Bagi menyokong saranan kerajaan itu, syarikat rakaman Universal Music tampil dengan projek khas menerusi lagu berentak hip hop berjudul Jangan Keluar.

ARTIKEL BERKAITAN: PKP masuk fasa ke-3, tambah 2 minggu lagi hingga 28 April

Menariknya, projek berbentuk kempen ini menggabungkan 17 penyanyi yang berbeza dari segi genre dan latar belakang muzik dalam satu lagu.

Hafiz Hamidun.

Kesemua penyanyi melakukan rakaman di rumah sendiri dan sudah ditetapkan ‘key’ mengikut bahagian masing-masing yang perlu dinyanyikan sebelum digabungkan menjadi sebuah lagu.

Penyanyi Hafiz Hamidun berkata, ia merupakan cabaran buat dirinya apabila kali pertama membawakan lagu bergenre hip hop.

"Sebagai rakyat Malaysia, tak kira siapa pun kita, gunakan kepakaran dan kreativiti yang ada. Macam saya sebagai seorang penyanyi, bukan bermaksud tidak boleh sumbang kepada kebaikan.

"Walaupun satu rangkap, tapi saya anggap ia besar. Apabila dapat demo daripada Universal Music, ini pertama kali saya menyanyikan genre seperti ini. Tapi tidaklah terlalu asing. Lagu ini menampilkan melodi yang segar," katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, tak kira siapa pun kita, gunakan kepakaran dan kreativiti yang ada.

HAFIZ HAMIDUN

PENYANYI

Selain Hafiz Hamidun, antara selebriti yang turut bergabung dalam lagu itu iaitu Shila Amzah, Yonnyboii, Rabbit Mac, Shalma Eliana, Sophia Liana, Alvin Chong, Bella Astillah, Luca Sickta, Kmy Kmo, Tuju, Kowachee, ASYRFNSIR, Abubakarxli, Siqma, Dolla dan Malik Abdullah.

Sementara itu, anggota kumpulan DeFam iaitu Sophia Liana berharap agar lagu ini dapat memberi semangat kepada rakyat Malaysia supaya terus mematuhi saranan kerajaan untuk duduk di rumah.

"Pembabitan saya dalam lagu ini adalah untuk sama-sama menyanyikan lagu yang dapat meneruskan semangat rakyat Malaysia untuk duduk di rumah.

"Dengan harapan supaya rantaian wabak ini dapat diputuskan dengan cepat dan kita dapat kembali kepada aktiviti seperti sediakala secepat mungkin," katanya.

Pelakon dan penyanyi Alvin Chong pula berasa teruja apabila dapat peluang bergabung menghasilkan lagu tersebut dan berharap semua berakhir dengan secepat mungkin.

Alvin Chong.

"Saya berasa sangat gembira apabila dapat tahu pihak Universal Music Malaysia menawarkan saya untuk terbabit dalam kempen ini. Salah satu matlamat saya menyanyi ialah untuk memberi semangat semula kepada masyarakat.

"Tidak dinafikan, kejadian Covid-19 ini memberi banyak kesan kepada orang ramai. Saya berharap perkara ini akan cepat berlalu dan kita dapat semula kehidupan yang dulu dan lebih selamat," katanya.

Universal Music Malaysia akan melangsungkan Konsert Online Streaming pada 19 April depan di saluran Youtube Universal Music Malaysia yang akan menampilkan barisan artis dari lagu Jangan Keluar.

Lagu Jangan Keluar ini boleh didengari di seluruh platform seperti Spotify, iTunes, KKBox, Deezer, Joox, dan juga Apple Music bermula Selasa.

Artikel Lain