suria

Tahniah! Aiman Tino, Fara Hezel dapat adik ke-11 - “Ini anak terakhir... doktor suruh tutup kilang”

Riena suami terima cahaya mata ke-11.

IBU kepada penyanyi Aiman Tino dan Fara Hezel iaitu Hazelina Mat Jalil, 43, selamat melahirkan anak ke-11 pada petang Khamis.

Hazelina atau Riena berkata, bayi perempuan seberat 3.39 kilogram itu dilahirkan secara normal di Hospital Selayang, Selangor pada pukul 6.45 petang.

"Alhamdulillah proses kelahiran anak ke-11 ini dipermudahkan... cuma lama sikit baby keluar, tunggu di bilik bersalin dari pukul 11 pagi sampai 6 petang.

ARTIKEL BERKAITAN: Aiman Tino Teruja, Ibu Bakal Lahir Anak Ke 11

"Namun semuanya berjalan lancar, 11 kali bersalin semestinya sakit dan pengalaman itu tak sama, perasaan gementar dan takut itu mesti ada!

"Selepas ini saya akan berpantang di rumah kami di Kuala Kubu Bharu... saya dan suami dah fikirkan nama iaitu Nina Deylisya," katanya kepada mStar.

Riena bersama Aiman dan anak ke-11, Nina Deylisya.

Sementara itu, Riena berkata Nina merupakan cahaya mata terakhir mereka setelah menerima nasihat daripada doktor.

"Penerimaan anak-anak lain semuanya happy dan seronok dapat adik baru, maklumlah lima tahun tak ada adik.

"Ini anak terakhir... doktor pun dah sarankan untuk saya 'tutup kilang' memandangkan anak dah ramai dan atas faktor kesihatan. Lepas ni kami tunggu cucu pula!

"Apa-apa pun saya nak ucapkan terima kasih kepada doktor, jururawat di Hospital Selayang yang banyak membantu sepanjang proses kelahiran walaupun semuanya sedang sibuk berdepan wabak Covid-19," ujarnya.

Selain Aiman dan Fara, Riena dan suaminya iaitu Yusry Iskhak, 50, mempunyai lapan lagi anak iaitu Nur Fara Ain, 25, Mohd. Aidil, 24, Nur Isfasha, 17, Mohd. Haikal, 13, Nur Alya Mahsuri, 10, Nur Qaseh Mahsuri, 8, Mohd. Ikhwan, 5, dan Nur Nina Izara, 4.

Fara Hezel, Aiman Tino, Riena, Yusry

Artikel Berkaitan

Artikel Lain